JOHOR BAHRU - Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) 2019 Zon Selatan menjadi platform mempromosikan produk usahawan tempatan.
Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, program selama lima hari bermula pada 30 Oktober 2019 hingga 3 November itu dianjurkan sempena Karnival Beli Barangan Malaysia.
Menurutnya, HPPK 2019 Zon Selatan yang bermula pada jam 8 pagi hingga 10 malam itu merupakan salah satu inisiatif kerajaan bagi membantu usahawan PKS tempatan dalam memasarkan produk mereka kepada orang ramai.
"Banyak aktiviti menarik dan informatif disusun sepanjang berlangsungnya program ini dengan pelbagai jenis pengisian berbentuk 'infotainment' seperti pameran dan jualan oleh pempamer, demo produk, program kepenggunaan, persembahan pentas serta aktiviti riadah kekeluargaan,” katanya ketika berucap merasmikan HPPK 2019 Zon Selatan di Dataran Angsana Mall di sini semalam.
Beliau berkata, penganjuran Sambutan HPPK selaras dengan pengisytiharan 18 November sebagai Hari Penjaja dan Peniaga Kecil.
>Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah merangka dan menggerakkan pelan serta inisiatif jangka pendek dan jangka panjang bagi pembangunan hal ehwal penjaja serta peniaga kecil sejak kementerian itu dipertanggungjawabkan pada 23 Mei 2012.
"Usaha ini juga selaras dengan peranan KPDNHEP dan agensi-agensinya sebagai peneraju bidang pengedaran dan perdagangan dalam negeri,” katanya.
Justeru katanya, pelaksanaan HPPK 2019 di peringkat zon selatan dapat mengoptimumkan impak dalam memajukan masyarakat penjaja dan peniaga selari dengan hasrat dan wawasan kerajaan di bawah inisiatif ‘Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.’
Sheikh Umar berkata, penganjuran HPPK 2019 turut diterapkan dengan pengisian aktiviti antarabangsa, Food Truck Biz Challenge (FTX).
Menurutnya, program FTX akan diadakan di setiap zon yang terlibat dan tiga finalis atau pemenang utama setiap zon akan bertanding di peringkat kebangsaan pada kemuncak Sambutan HPPK 2019 peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Kedah pada 28 hingga 30 November depan.
"Sektor penjaja dan peniaga kecil merupakan salah satu kegiatan ekonomi utama bagi penduduk negara ini.
"Berdasarkan statistik Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) seramai 216,487 orang penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar di Johor daripada lebih sejuta penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara,” katanya.