JERANTUT -"Kami sekeluarga langsung tidak tahu lelaki itu mempunyai masalah mental selama ini," kata Siti Noraini Zainal Abidin, 33 yang masih terkejut dengan insiden tiga ahli keluarganya ditetak dan ditikam oleh lelaki yang juga jiran mereka kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 malam itu, bapa Siti Noraini, Zainal Abidin Omar, 63, cedera ditikam beberapa kali di perut manakala adiknya, Mohd Nor Alami Zainal Abidin, 31, serta anak saudaranya, Nor Syashakilla Hasbullah, 20 cedera di tangan selepas diserang lelaki itu yang dipercayai mengalami halusinasi dan gangguan mental di rumah mereka di Felda Kota Gelanggi 1, Jerantut di sini kelmarin.
Siti Noraini berkata, lelaki berusia 32 tahun itu tidak pernah bertindak sebegitu sepanjang keluarganya berjiran dengannya.
"Saya tidak menyangka dia menyerang dan menetak keluarga saya kerana kami sudah menganggapnya seperti keluarga sendiri.
"Memang terkejut dengan kejadian yang menimpa ahli keluarga namun saya bersyukur kerana mereka kini dalam keadaan stabil" katanya.
Ujar Siti Noraini yang juga anak keenam daripada 14 beradik itu, dia tiada di lokasi kejadian kerana menyewa di rumah lain.
"Saya diberitahu oleh adik (Mohd Nor Alami) ketika kejadian dia sedang berbual dan tiba-tiba lelaki itu terus menyerang dengan parang kemudian masuk ke rumah menyerang ahli keluarga lain.
"Sebelum itu suasana tenang sahaja, lelaki itu tidak mengamuk atau menjerit sebelum menyerang mereka," katanya.
Tambahnya, buat masa ini adiknya, Mohd Nor Alami dijangka dibenarkan keluar dari Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh hari ini.
"Bapa saya akan menjalani pembedahan kali ketiga pada Sabtu atau Ahad ini manakala anak saudara masih dirawat untuk pemerhatian," katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan memberitahu, suspek direman hingga Ahad ini.