Wasiat Raja-Raja Melayu dan Perlembagaan Persekutuan: Takrifan dan tindakan

Iklan
Gambar hiasan

DALAM kemelut semasa, berlaku pertembungan di antara Bumiputera dan bukan Bumiputera mengenai hak dan kepentingan masing-masing.

Di tengah-tengah pertembungan itu orang Melayu berada di barisan hadapan Bumiputera manakala etnik Cina mendepani komuniti bukan Bumiputera.

Iklan
Iklan

Tatkala orang Melayu dilihat cuba memperisaikan agama Islam, etnik Cina pula menguatkan sentimen cauvinisme mereka.

Pada hemat saya, kemelut ini tercetus kerana masing-masing bertelagah mengikut emosi dan sentimen.

Iklan

Tiba masanya semua pihak bertindak dengan kebijaksanaan dan menggunakan segala peruntukan Wasiat Raja-Raja Melayu dan Peruntukan Perlembagaan untuk mempertahankan hak dan kepentingan masing-masing.

Jika tidak bersetuju dengan peruntukan itu mereka boleh mencabarnya di mahkamah.

Izinkan saya merujuk kepada salah satu isu yang hangat diperdebatkan, iaitu mengenai hak istimewa kaum Bumiputera. Ia sebenarnya ujud dan telah pun dilaksanakan.

Iklan

Hanya apabila perlaksanaannya alami banyak kecacatan maka perlaksanaan hak itu dipersoalkan.

Sebagai permulaan, ayuh sama-sama kita fahami Wasiat Ketujuh dan Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan hak istimewa orang Melayu (kaum Bumiputera dalam konteks yang lebih luas).

Wasiat Raja-Raja Melayu yang ketujuh menyatakan:

"Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak)”.

Perkata 153 Perlembagaan Persekutuan pula antara lainnya menyatakan:

"(1) menjadi tanggungjwab Yang Di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan perkara ini.”

Jika ada mana-mana pihak tidak faham atau meragui kedua-dua peruntukan itu mereka boleh merujuknya kepada mana-mana peguam yang arif mengenai perlembagaan Negara kita.

Secara mudahnya untuk kefahaman semua pembaca sekalian, makna"kedudukan istimewa orang Melayu” itu terlalu eksklusif dan ia adalah satu kenyataan perlembagaan yang begitu omnibus.

Maknanya, setiap agensi atau institusi yang ditubuhkan kerajaan dan memperoleh dana dari kerajaan wajib atau berhak mentakrifkan dan menterjemahkan peruntukan ini bagi melaksanakan apa jua agenda kepentingan Bumiputera tanpa meminggirkan kepentingan sah lain-lain kaum.

Izinkan saya menyentuh satu contoh yang terbukti berjaya memperkasakan Bumiputera melalui perlaksanaan satu inisiatif yang dianggap sebagai hak istimewa Bumiputera.

Kolej Pertanian Malaysia @ Serdang (KPM), sebelum dinaik taraf menjadi Universiti Pertanian Malaysia, UPM (kini dikenali sebagai Universiti Putra Malaysia), pernah tawarkan satu program pengambilan khas pelajar Bumiputera yang didapati kurang layak mengikuti Program Diploma Pertanian.

Program setahun itu dinamakan program pradiploma. Setiap tahun sekitar 100 pelajar Bumiputera diterima masuk mengikuti program berkenaan.

Mereka yang lulus akan ditawarkan mengikuti program Diploma Pertanian. Selepas itu apabila KPM dinaik taraf menjadi UPM, lulusan program pradiploma ini boleh memilih mengikuti beberapa program diploma lain, seperti Diploma Kesihatan Haiwan dan Diploma Perikanan.

Program pradiploma itu dikekalkan oleh UPM untuk beberapa tahun saja selepas itu kerana pengambilan pelajar Bumiputera di peringkat diploma dan ijazah sudah dirasakan memenuhi keperluan semasa yang disasarkan.

Itulah keberanian kepimpinan KPM/UPM ketika itu diterajui Prof Emeritus Tan Sri Dr Mohd Rashdan Baba dengan arwah Cikgu Mohd Rashid Ahmad sebagai mentor beliau, menterjemah untuk melaksanakan wasiat ketujuh itu dan Peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Ramai mereka yang mulanya memasuki KPM/UPM melalui tingkap program pradiploma ini berjaya melanjutkan pengajian hingga ke peringkat ijazah dan ijazah lanjutan, bersaing dengan pelajar pelbagai kaum, malah pelajar luar negara. Dalam kerjaya selepas tamat pengajian pun mereka berjaya.

Sebagai contoh, mantan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Aziz Jamaludin dan mantan Ketua Pengarah Remote Sensing Malaysia, Datuk Darus Ahmad, yang saya kenali, adalah di antara mereka yang memasuki UPM melalui tingkap itu.

Andai kata, Tan Sri Rashdan dan arwah Cikgu Rashid tidak berani mengeksploitasi hak istimewa untuk Bumiputera itu, masakan kedua-dua mereka itu (Datuk Dr Aziz dan Datuk Darus) berpeluang pergi begitu jauh.

Kedua-dua wira perkasa Melayu itu, Tan Sri Dr Rashdan dan arwah Cikgu Rashid, sudah laksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

Tidak pula mereka itu didakwa di mana-mana mahkamah atas tuduhan salah guna kuasa kerana menawarkan program pradiploma itu khusus untuk pelajar Bumiputera.

Ya, mereka terselamat dari cemuhan dan fitnah awam menuduh mereka rasis, hanya kerana ketika itu tiada media sosial seganas hari ini dan UPM pun pada masa itu tiada pelajarnya yang serasis generasi pelajar masa kini.

Hakikatnya, penawaran program pradiploma oleh UPM itu tidak menafikan hak lain-lain kaum untuk mengikuti program diploma atau ijazah yang ditawarkan.

Ia adalah program khas untuk Bumiputera yang kurang cemerlang di peringkat SPM. Itu pun bukan suatu program yang kekal dan muktamad.

Apabila UPM mendapati bilangan pelajar Bumiputra yang layak untuk terus mengikuti program diploma atau ijazah sudah mencukupi, program pradiploma itu dihentikan.

Pengambilan pelajar UPM yang dianggap luar biasa itu pernah ditimbulkan oleh salah serong Ahli Parlimen dari puak pembangkang di salah satu sidang di Dewan Rakyat sekitar tahun 1974.

Ketika itu Menteri Pelajaran ialah YB Dr Mahathir Mohammad. Jawapan Dr Mahathir kepada soalan pembangkang itu mudah saja,"Saya adalah Menteri Pelajaran, saya buatlah apa yang saya suka”. Tiada soalan susulan dari pembangkang berkenaan mengenai isu itu.

Mesej yang saya ingin kongsikan di sini ialah peruntukan Perlembagaan telah ada untuk setiap dari kita bertindak, tanpa perlu menyemarakkan sentimen kebencian atau polarisasi kaum.

Apa yang Bumiputera perlukan ialah keberanian para penjawat awam dalam semua agensi dan institusi itu bertindak melaksanakan peruntukan itu, berpandukan sasaran KPI masing-masing. Saya tekankan di sini bahawa, mengistimewakan Bumiputera bukan satu kesalahan, sebaliknya, mengkhianatinya adalah dosa besar.

Banyak bentuk pengkhianatan sebelum ini berlaku. Tidak melaksanakan peruntukan itu adalah salah satu darinya.

Melaksanakan peruntukan itu dengan penyelewengan atau lain-lain niat jahat juga adalah satu bentuk pengkhianatan.

Kepada semua penjawat awam baik dalam agensi kerajaan atau pun mana-mana institusi kepentingan kerajaan, beranikanlah diri bertindak melaksanakan amanah dan tanggungjawab ini kerana dengan tidak melaksanakannya, tuan-tuan sekalian adalah mengkhianati kami, kaum Bumiputera.

Kami bersedia berkongsi kemakmuran dengan siapa saja, asalkan hak istimewa kami diutamakan dan dihormati.

*** Datuk Dr Hasan Mad ialah Setiausaha Agung MPM