HULU TERENGGANU - Seorang lelaki tergamak mengambil kesempatan mencabul isteri rakan baiknya ketika datang ke rumah wanita itu dalam kejadian di Kuala Berang Isnin lalu.
Ketika kejadian kira-kira jam 6.30 petang, wanita berusia 37 tahun itu sedang berehat ditemani adik perempuannya sebelum didatangi suspek yang memaklumkan dia disuruh oleh suami wanita itu untuk mengambil makanan dipesan.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, suami wanita itu berada di tempat kerja dan tanpa sebarang syak mangsa terus pergi ke dapur menyiapkan makanan sebelum masuk ke dalam bilik untuk mengambil barang lain yang hendak dikirim kepada suami.
"Mangsa terkejut selepas ternampak suspek sedang membuka seluar dan memegang kemaluan di dalam biliknya sebelum cuba memegang paha wanita itu.
"Takut dan cemas dengan situasi itu mangsa menjerit sekuat hati meminta tolong sebelum didengari adik perempuannya yang terus masuk ke dalam bilik untuk membantu.
"Suspek berusia 30-an bergegas bersembunyi di belakang pintu bilik sambil memberi isyarat diam selain menunjukkan sebilah pisau terselit di pinggangnya," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Adli berkata, suspek terus melarikan diri keluar dari rumah selepas menyedari adik perempuan mangsa berada di hadapan pintu.
"Mangsa seterusnya menghubungi suaminya dan menceritakan kejadian sebelum membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul," katanya.