PETALING JAYA - Petronas Lubricants Marketing Malaysia (PLMM) dan Petronas Lubricant International (PLI) memperkenalkan keluaran minyak pelincir Sprinta dengan teknologi UltraFlex baharu yang diformulasikan untuk ketahanan jangka hayat enjin lebih lama.
Selain itu, bahan pelincir baharu ini juga dapat menggelakkan tekanan berlebihan pada komponen enjin motosikal dan turut menawarkan tunggangan yang lebih baik.
Ketua Pegawai Operasi Petronas Dagangan Berhad (PDB), Aadrin Azly berkata, pihaknya berbesar hati apabila dapat menguji prestasi, kecekapan dan ketahanan Petronas Sprinta dengan teknologi UltraFlex itu dalam siri perlumbaan kejohanan MotoGP sebelum ini.
"Dalam tempoh masa yang singkat sejak GP Belanda pada Jun lalu, pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) telah mencapai peningkatan yang jelas melibatkan pelumba, pasukan teknikal dan juga Petronas Sprinta yang menunjukkan prestasi begitu baik,” katanya ketika sesi pra tonton produk baharu itu kepada media di The Gasket Alley di sini Rabu lalu.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Teknologi PLI, Eric Holthusen berkata, barisan produk baharu ini menepati standard alam sekitar global yang akan digunakan bermula tahun 2020 seperti Euro 5 dan Bharat Stage VI.
Beliau berkata, ketegangan akibat pergerakan mekanikal enjin motosikal dan keadaan suhu operasi yang tinggi menyebabkan getaran serta menjadikan prestasi enjin menjadi kurang memuaskan.
"Dengan teknologi UltraFlex ini, ia dapat memberikan kestabilan pelincir yang tinggi ketika beroperasi bagi mengurangkan tekanan seterusnya memberikan tunggangan yang stabil serta jangka hayat enjin lebih lama,” katanya.
Difahamkan, minyak pelincir Petronas Sprinta dengan UltraFlex akan mula dipasarkan di kedai Petronas Mesra dan bengkel wakil rasmi Petronas bermula pertengahan November ini.
Untuk pasaran India dan Thailand, ia akan dijual pada suku pertama tahun 2020 diikuti Indonesia, Vietnam dan beberapa negara lain.
Petronas Sprinta dengan UltraFlex dipasarkan dengan pilihan dua gred iaitu F700 semi sintetik dan F900 sintetik penuh dengan masing-masing berharga RM35 dan RM67.