Kenaikan cukai taksiran bebankan rakyat Pulau Pinang

Iklan
Jason Ong Khan Lee

GEORGETOWN - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke 14 Penggal Kedua hari ini dimulakan dengan rungutan rakyat yang dibangkitkan beberapa wakil rakyat berhubung kenaikan cukai taksiran yang dianggarkan sehingga 30 peratus yang dinilai mengikut kategori hartanah, bermula tahun hadapan.

Rungutan itu dibawa oleh Jason Ong Khan Lee (PKR-Kebun Bunga), Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor (BN- Sungai Dua) dan Lee Khai Loon (PKR-Machang Bubok) dalam sesi soalan lisan tadi.

Iklan
Iklan

Dalam soalan tambahannya, Jason meminta agar kerajaan negeri bukan sahaja mempertimbangkan kenaikan itu malah menurunkan cukai taksiran itu yang dilihat membebankan rakyat.

Jason berkata, cadangan itu dibuat selepas mengambil kira keadaan krisis ekonomi yang lembab pada waktu ini.

Iklan

"Memandangkan keadaan ekonomi sekarang, nilai hartanah kini susut dan jatuh mendadak," katanya.

Menjawab soalan tersebut, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jagdeep Singh Deo berkata, purata kenaikan harga hartanah adalah lapan peratus setiap tahun.

Iklan

"Sepatutnya cukai ini akan dinaikkan setiap lima tahun, bermakna dua kali untuk 10 tahun. Namun, kerajaan negeri tidak menaikkannya sejak 15 tahun lalu. Dengan itu, jika ada kenaikan harga tanah, sudah tentu akan ada kenaikan dalam cukai," katanya.

Sementara itu, Muhamad Yusoff mengutarakan soalan sama ada kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) telah memberi penjelasan sewajarnya kepada penduduk terlibat berkenaan cadangan kenaikan cukai tersebut.

"Adakah PBT telah memberi penjelasan sewajarnya sama ada melalui risalah mengenai cadangan ini?

"Adakah kenaikan ini melibatkan rumah kampung yang serba serbi kekurangan antaranya dari segi servis longkang dan sebagainya. Ini kerana, tiada kenaikan sejak 2005, iaitu satu tempoh agak lama," katanya.

Dalam pada itu, Khai Loon berkata, cadangan kenaikan cukai tersebut dilihat memberi implikasi negatif kepada Kerajaan Pulau Pinang yang mana, sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), cukai bagi rumah kos rendah dan sederhana rendah telah dikecualikan.

"September lalu, kita digembirakan dengan berita penaiktarafan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) kepada status bandaraya. Bagaimanapun, berita baik itu disusuli dengan berita tidak baik apabila kadar cukai akan dinaikkan tahun depan.

"Ini menimbulkan banyak rungutan dan ketidakpuasan hati di kalangan rakyat khususnya golongan B40 yang hanya mempunyai sebuah rumah. Sebelum ini, mereka tidak membayar cukai tetapi bermula tahun ini, mereka dikenakan membayar 50 peratus.

"Oleh itu, boleh kah golongan ini dikecualikan daripada kenaikan cukai yang bakal dilaksanakan nanti?," katanya.

Menjawab kepada soalan itu, Jagdeep (DAP- Datuk Keramat) berkata, cadangan kenaikan cukai itu adalah kehendak peruntukan undang-undang.

"Memang benar pemilik rumah kos rendah dan sederhana rendah dikecualikan cukai sejak dua tahun lalu namun tahun ini mereka hanya perlu membayar 50 peratus sahaja.

"Mengenai kononnya kenaikan ini ada kena mengena dengan status baharu MPSP, itu tidak benar," katanya.

Jagdeep juga mengulangi bahawa kenaikan cukai bermula tahun hadapan itu tidak akan membebankan rakyat yang mana, rakyat akan menikmati pelbagai manfaat dari projek pembangunan dan infrastruktur yang telah dirancang.

Menurutnya, hasil kutipan cukai yang dinaikkan itu akan diperuntukkan untuk pembangunan yang akan meningkatkan kehidupan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah.

Sebelum ini, Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan akan menaikkan cukai taksiran dianggarkan sehingga 30 peratus yang dinilai mengikut kategori hartanah, bermula tahun depan.

Kenaikan itu berdasarkan kadar cukai taksiran sedia ada yang tidak disemak sejak 15 tahun lalu, selain peningkatan kos pengurusan oleh PBT.