SHAH ALAM - Bagaikan mimpi. Itu reaksi seorang pelayar Twitter apabila menerima kembali dompet yang tercicir tempoh hari.
Raudah Jaafar berkata, dompet itu dikembalikan menerusi pos laju, namun tiada sebarang maklumat mengenai pengirim misteri tertera pada bungkusan dompet tersebut.
"Hari itu dompet aku hilang. Lepas itu mak aku 'call', cakap ada orang pos dompet menggunakan alamat rumah di Rompin.
"Aku nak tahu siapa pengirim misteri itu kerana duit pun dia tak usik langsung," katanya sehingga tular di media sosial.
Pada status sama, dia tidak menolak kemungkinan pengirim tersebut cuba menghubunginya melalui nombor telefon yang turut tertera pada borang maklumat bungkusan pos laju tersebut, namun katanya, nombor tersebut sudah tidak digunakan.
"Saya tidak tahu siapa dia, mungkin ada cuba nak hubungi aku tapi nombor tu tak guna lagi. Jadi tu dia pos sahaja dompet ini.
"Lepas ni, dalam dompet perlu isi nombor telefon senang kalau tercicir lagi, orang boleh hubungi. Siapa pun orang itu, aku nak ucapkan terima kasih banyak sebab jujur," katanya.
Dalam pada itu, perkongsian itu meraih perhatian netizen yang menyifatkan tindakan pengirim itu sangat wajar kerana membantu orang dalam kesusahan.
"Alhamdulillah, siapa pun dia, doakan kebahagiaannya. Insya-ALLAH," kata @MawarSiti4.
Kata @mafiq422 pula,"Ramai yang jujur dalam dunia ini, percayalah."