LKIM jamin bekalan ikan mencukupi pada musim tengkujuh

Iklan
Muhammad Faiz - Foto fail

SHAH ALAM - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberi jaminan stok bekalan ikan mencukupi untuk keperluan seluruh negara walaupun beberapa negeri di pantai timur dijangka dilanda musim tengkujuh sehingga Mac depan.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, ini kerana pihaknya telah menyediakan bekalan sumber protein berkenaan menerusi stok simpanan ikan-ikan segar beku atau ‘Q’Fish’ selain bekalan ikan import.

Iklan
Iklan

Malah katanya, nelayan bot Kelas C juga masih boleh turun ke laut dengan memantau keadaan cuaca menggunakan teknologi sedia ada untuk menangkap ikan segar pada musim tengkujuh, sekiranya cuaca tidak terlalu teruk.

"Bagi nelayan bot Kelas A dan B, mereka memang tidak sesuai untuk turun ke laut kerana bot atau sampan mereka kecil.

Iklan

"Hanya nelayan bot Kelas C yang sesuai ke laut menangkap ikan jika cuaca tidak terlalu buruk. Jadi di sini kita tahu, negara masih mampu menampung bekalan dan tidak ada masalah dengannya.

"Stok Q’Fish yang terdiri daripada 'ikan rakyat' menggunakan kemudahan 'Individual Quick Freezing' (IQF) juga kita buat secara berterusan dan disasarkan mampu mencapai sehingga 50 tan metrik simpanan pada masa depan bagi menampung keperluan rakyat di negara ini pada musim-musim tertentu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Iklan

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Penutupan Hari Inovasi LKIM 2019 dan sambutan ulang tahun ke-48 lembaga berkenaan yang turut dihadiri Ketua Pengarah LKIM, Jamaludin Othman.

Muhammad Faiz berkata, kemudahan IQF ketika ini hanya terdapat di Kuala Besut, Terengganu dan Kuala Kedah yang terlibat dalam pengedaran Q'Fish.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan sebelum ini meramalkan negeri di pantai timur akan menghadapi empat hingga enam episod hujan lebat yang boleh mengakibatkan banjir bermula bulan ini sehingga Mac.

Terdahulu pada majlis itu, seramai 122 kakitangan LKIM dari seluruh negara terlibat dalam program Hari Inovasi LKIM 2019 yang menyaksikan LKIM Pahang memenangi tempat pertama dan kedua, bagi pertandingan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK).- Bernama