Banjir di Perak, Kedah, Selangor semakin surut

Iklan

KUALA LUMPUR - Banjir yang melanda tiga negeri iaitu Perak, Kedah dan Selangor semakin surut petang ini membolehkan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) mulai pulang ke rumah untuk membersihkan kediaman masing-masing.

Sehingga jam 6 petang ini, PPS di Kedah ditutup sepenuhnya manakala di Perak dan Selangor jumlah mangsa banjir yang berada di PPS semakin menurun.

Iklan
Iklan

Di Kedah, seramai 104 mangsa banjir melibatkan 32 keluarga dari daerah Pendang yang ditempatkan di PPS Dewan Cenderawasih sejak Ahad dibenarkan pulang ke rumah masing-masing ekoran keadaan kembali normal sejak tengah hari tadi.

Pegawai Daerah Pendang, Syed Khairol Anuar Syed Abidin yang juga Pengerusi Pengurusan Bencana daerah berkata, Bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia telah meninjau kawasan terjejas dan menyatakan bahawa ia selamat untuk penduduk pulang.

Iklan

"Berikutan itu, pusat pemindahan sementara ini ditutup secara rasmi 6.30 petang ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Tinjauan Bernama di pusat pemindahan itu mendapati penduduk diberikan bantuan pelbagai peralatan pembersihan termasuk penyapu, mop, baldi dan getah paip oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk memudahkan mereka membersihkan rumah masing-masing.

Iklan

Sementara itu di SELANGOR, hanya empat orang daripada sebuah keluarga yang masih ditempatkan di PPS Dewan JKKK Matang Pagar, Gombak setakat 4 petang.

Jurucakap Smart Selangor Command Center berkata, kesemua mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang dan SK Ijok di daerah Kuala Selangor sebelum ini dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada kira-kira jam 12 tengah hari.

Di Perak, laman portal info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat mencatatkan 564 mangsa banjir masih ditempatkan di empat PPS di Perak setakat petang ini.

Daerah Kerian mencatatkan jumlah mangsa banjir paling ramai iaitu 318 orang yang ditempatkan di dua PPS iaitu 149 mangsa berada di PPS Sekolah Kebangaaan (SK) Changkat Lobak manakala 169 lagi berada di SK Parit Haji Aman.

PPS di SK Changkat Jong, Hilir Perak menempatkan 169 orang manakala mangsa banjir di daerah Manjung masih kekal 77 orang yang ditempatkan di Sekolah Agama Rakyat Padang Serai.

Tinjauan Bernama mendapati mangsa yang telah pulang ke rumah semalam selepas banjir surut di kawasan Kampung Sungai Rokam di Ipoh masih melakukan kerja-kerja mengemas dan pembersihan di rumah masing-masing sehingga hari ini. - Bernama