Kedah tingkat liputan jalur lebar hingga 500 Mbps

Iklan
Mukhriz (dua dari kiri) melihat pameran digital Kulim Hi-Tech Park pada Majlis Perasmian Kedah Digital Expo di Aman Central hari ini. - Foto: Bernama

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah kini dalam usaha meningkatkan liputan jalur lebar dan pantas mencecah 500 megabit sesaat (Mbps) khasnya di kawasan ibu negeri serta kawasan industri terpilih menjelang 2021.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, tumpuan turut melibatkan peningkatan rangkaian gentian optik yang meliputi 70 peratus kawasan kemudahan awam menjelang 2022.

Iklan
Iklan

"Kerajaan negeri menyedari hakikat bahawa ekonomi digital kian berkembang pesat dan bakal menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi pada masa akan datang, sebab itu ada perancangan telah dirangka untuk beberapa tahun akan datang.

"Kita juga akan berusaha meningkatkan kelajuan purata 30 peratus bagi capaian internet di 98 peratus kawasan berpenduduk menjelang 2023. Selain itu, Jawatankuasa Infrastruktur Telekomunikasi Negeri juga akan ditubuhkan bagi menyelaras dan memudah cara pembangunan infrastruktur telekomunikasi di negeri ini,” katanya ketika berucap merasmikan Kedah Ekspo Digital (KED) 2019 di sini hari ini.

Iklan

Katanya, kesemua perancangan itu adalah bagi memberi kemudahan dan mahu rakyat negeri ini memiliki capaian internet yang lebih baik, supaya mendapat faedah daripada dunia mahu pun rangkaian tanpa sempadan yang ditawarkan di alam maya.

Sementara itu, Mukhriz berkata, beliau sedar bahawa banyak pihak bimbang mengenai masa depan golongan muda di negeri ini, susulan ramalan menyatakan sebanyak 75 juta pekerjaan bakal pupus dalam tempoh beberapa tahun akan datang akibat perkembangan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) yang kian memuncak.

Iklan

"Namun kita juga perlu sedar bahawa peluang pekerjaan baharu akan muncul dan semua perlu bijak mencari ruang dan peluang untuk memanfaatkannya. Melalui dunia serba digital, kini segalanya bukan lagi mustahil.

"Peluang seperti inilah yang perlu diambil dan apa yang diperlukan hanyalah kesungguhan, kreativiti dan keterbukaan untuk menerima dan mempelajari sesuatu yang baharu. Jika ini dapat dilakukan, tidak mustahil Kedah mampu menjadi pengeluar utama kepada bakat-bakat baharu dalam dunia ekonomi digital,” katanya.

Program KED yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini bertujuan menyampaikan maklumat kepada rakyat mengenai hasrat kerajaan negeri menuju ke arah pelaksanaan ‘Kedah Digital’ pada masa akan datang.

Dengan mengetengahkan konsep ‘gaya hidup digital’ para pengunjung ekspo berpeluang merasai pengalaman digital menerusi aktiviti serta teknologi dipamerkan seperti hologram, pengenalan teknologi 5G, pengenalan wajah, serta e-Sukan. - Bernama