COLOMBO - Seekor gajah jantan yang dilatih membawa pelancong tiba-tiba rebah dan mati di Sri Lanka.
Kumpulan hak asasi haiwan berkata, gajah berusia 18 tahun dan diberi nama Kanakota itu mati akibat kepenatan sebaik sahaja mengangkut pelancong di Sigiriya dalam kejadian bulan lalu.
Gajah tersebut dikatakan bekerja tanpa henti pada 16 Oktober lalu semasa cuaca panas terik melanda bahagian tengah Sri Lanka.
Selain mengangkut pelancong, khidmat gajah malang itu turut digunakan dalam aktiviti keagamaan dan perarakan kostum.
Sementara itu, aktivis Paul Healey dari Moving Animals berkata, kematian Kanakota dapat dielak jika semua pihak termasuk pelancong mempunyai kesedaran tinggi mengenai isu ancaman terhadap gajah di negara berkenaan.
"Gajah bukan kenderaan. Pelancong mesti berhenti daripada menunggang haiwan ini,” katanya.
Awal tahun ini, seekor gajah betina berusia 70 tahun mati selepas dipaksa berarak dalam festival kostum sepanjang hayatnya.
Gajah bernama Takiri mati dalam keadaan menyayat hati apabila tubuhnya kelihatan kurus kering. - Agensi