BANGKOK - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di sini, hari ini untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-35 yang bermula esok.
Pesawat khas yang membawa Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mendarat di Terminal 2, Tentera Udara, Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang pada jam 4.50 petang waktu Malaysia.
Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah disambut oleh Menteri Pendidikan Thailand, Nataphol Teepsuwan.
Turut menyambut ketibaan beliau ialah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel.
Dr Mahathir yang mengetuai delegasi negara pada persidangan kali terakhir dipengerusikan Thailand selaku Pengerusi ASEAN 2019, mempunyai jadual padat sepanjang tiga hari sidang kemuncak itu di Pusat Pameran dan Konvensyen IMPACT di sini.
Delegasi negara turut disertai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking serta pegawai kanan kerajaan dari Pejabat Perdana Menteri, Wisma Putra dan MITI.
Perdana Menteri dijadual menghadiri sekurang-kurangnya lapan mesyuarat dengan pemimpin-pemimpin anggota ASEAN dan dari rantau ini serta mengadakan pertemuan dua hala bersama rakan sejawatnya dari Thailand, Prayuth Chan-ocha dan Scott Morrison dari Australia.
Esok, Dr Mahathir dijadual melawat Pameran Komuniti ASEAN bertema ‘Gaya ASEAN: Berkongsi Masa Depan’ sempena Sidang Kemuncak ASEAN itu serta melawat gerai Malaysia yang mempamerkan produk dan perkhidmatan pada pameran itu.
Selepas itu, beliau akan menghadiri sesi dialog Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN 2019 (ABIS) bertema ‘Memperkasakan ASEAN 4.0’
Pada sebelah tengah hari, Dr Mahathir dijadual menghadiri sesi pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-35 yang membincangkan agenda bertema 'Memperkukuh Kerjasama Bagi Kemampanan’ serta hubungan luar dan hala tuju ASEAN serta isu-isu serantau dan antarabangsa.
Sepanjang sidang kemuncak tersebut, Dr Mahathir juga dijadual menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-22, Sidang Kemuncak ASEAN-India ke-16, Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-10, Sidang Kemuncak ASEAN+3 ke-22, Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat ketujuh, Sidang Kemuncak Asia Timur ke-14. Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-22 dan Sidang Kemuncak Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) ke-3.
Dalam pada itu, Dr Siti Hasmah mempunyai jadual berasingan.
Beliau dijadual melawat Pameran Pengurusan Sisa oleh syarikat pengeluar simen, Siam Cement Public Company Limted (SG) dan syarikat pengeluar bahan kimia, PTT Global Chemical Public Company Limted (GC) di Pusat Pameran dan Konvensyen IMPACT.
Dr Siti Hasmah juga dijadual menghadiri sesi interaktif mengenai perkongsian amalan terbaik dalam pengurusan sisa anjuran Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Thailand.
Pada Isnin, Dr Siti Hasmah dan isteri-isteri ketua-ketua kerajaan dan negara akan melawat Muzium Negara Bangkok di Pavilion Samran Mukkhamatya serta Istana Bangkunprom di Samsen Road sebelum menghadiri jamuan tengah hari dihoskan oleh isteri Perdana Menteri Thailand, Prof Madya Naraporn Chan o-cha. - Bernama