JOHOR BAHRU - Sebanyak 230 individu ditahan sepanjang 10 hari Operasi Bersepadu Deepavali 2019 yang dijalankan di seluruh negeri ini bermula 21 Oktober hingga semalam.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Johor, Senior Asisten Komisioner Razimi Ahmad berkata, tangkapan dibuat atas pelbagai kesalahan termasuk orang yang dikehendaki.
Menurutnya, tangkapan kes jenayah melibatkan seramai 51 orang, kes narkotik (152), orang dikehendaki (10) dan kesalahan Imigresen serta lain-lain kesalahan seramai 17 tangkapan.
"Kes tangkapan akan disiasat mengikut undang-undang yang bertepatan dan sekiranya terdapat bukti mencukupi, suspek akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.
Dalam operasi sama katanya, 2,558 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik dan tidak menepati undang-undang lalu lintas ditetapkan.
Beliau berkata, sepanjang operasi di 13 daerah di negeri ini, sebanyak 11,895 kenderaan dan 14,602 individu telah diperiksa.
Jelasnya, pemeriksaan bertujuan memastikan individu yang berada di luar sepanjang tempoh operasi tidak terlibat dengan pelbagai salah laku, kesalahan jenayah, narkotik, trafik ataupun dadah.
"PDRM berharap dengan kuantiti saman dikeluarkan akan menyedarkan orang ramai yang bergerak sepanjang tempoh Deepavali untuk mengikut peraturan lalu lintas serta tidak membahayakan nyawa sendiri serta orang lain," katanya.