IPOH - Kementerian Kesihatan (KKM) akan melihat keperluan untuk menjadikan pasar malam sebagai kawasan larangan merokok.
Timbalan menterinya, Dr Lee Boon Chye berkata, pihaknya menerima baik cadangan masyarakat yang mahu kawasan tumpuan orang ramai itu bebas daripada asap rokok.
Bagaimanapun, beliau mengakui, agak sukar untuk melaksanakannya terutama dari sudut perundangan dan penguatkuasaan.
"Kita boleh kajilah (cadangan) tapi pasar malam ada kebaikan dan ada kesulitan. Tapak pasar malam tidak ada lingkungan yang jelas dari segi undang-undang.
"Kalau mereka merokok di kawasan pasar malam, bagaimana kita boleh mentafsirkan apa itu pasar malam? Ada kesukaran yang saya lihat dari segi penguatkuasaan," katanya.
Boon Chye mengulas demikian selepas merasmikan Kongres Tahunan Saintifik Persatuan Onkologi Malaysia Ke-31 (ASCOMOS) 2019 di Pusat Konvensyen Ipoh di sini hari ini.
Menurutnya, pendekatan itu amat berbeza berbanding larangan merokok di kedai makan dan tempat awam.
"Yang kita kuat kuasakan kini adalah tempat makan sama ada berhawa dingin atau tidak kerana sempadan perundangannya jelas, begitu juga dengan bangunan kerajaan, IPTA dan IPTS tapi kalau pasar malam pula, apa sempadannya?
"Kalau ada yang cabar nanti kata ini bukan pasar malam, ini depan rumah saya. Jadi ada kesukaran sedikit untuk kuat kuasa,” katanya.