SHAH ALAM - Prihatin dengan golongan orang kurang upaya (OKU), kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM3 juta jumlah keseluruhan bagi pelbagai bantuan kepada golongan itu dalam Belanjawan Selangor tahun depan.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, sebanyak RM500,000 diperuntukkan di bawah Bantuan Khas Anak-anak Istimewa Selangor (Bantuan AnIS) bagi membantu tanggungan kos saringan, terapi pemulihan, pembelian peralatan dan keperluan khas anak-anak OKU yang ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga.
Menurutnya, subsidi yuran pendidikan AnIS (Didik AnIS) juga diteruskan dengan peruntukan RM1 juta melalui pemberian bantuan sebanyak RM2,400 setahun.
"Bantuan ini diberikan kepada anak istimewa menuntut di pusat intervensi di Selangor yang memenuhi panduan dan syarat digariskan oleh Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS).
"Kerajaan negeri juga melaksanakan Program Rintis Shadow Teacher atau Cikgu Anis di mana pengasuh dan guru di taska diberikan peluang menerima latihan pendidikan kanak-kanak berkeperluan khas,” katanya pada pembentangan Belanjawan Selangor 2020 di Bangunan Kerajaan Negeri Selangor hari ini.
Beliau berkata, sehingga kini, seramai 736 orang Cikgu AnIS mengikuti latihan tersebut dan 368 buah taska mempunyai guru-guru AnIS terlatih.
Katanya, seramai 256 anak-anak istimewa telah didaftarkan di bawah jagaan taska terbabit.
Menurutnya, Kursus Latihan Pengasuhan Anakanak Istimewa di taska biasa (Cikgu AnIS) akan diteruskan dengan peruntukan RM500,000 sebagai inisiatif dan sokongan kerajaan negeri terhadap keperluan golongan ini.
"Kerajaan negeri juga dalam usaha menubuhkan Pusat Pemberdayaan AnIS yang memberi fokus anak-anak kategori masalah pembelajaran seperti Autism dan ADHD yang mana selama ini tiada ruang melanjutkan pengajian di peringkat pengajian tinggi.
"Bagi memastikan kesemua program inisiatif OKU ini dapat berjalan lancar, kerajaan negeri berhasrat menubuhkan Yayasan Anak Istimewa Selangor (YAnIS) dengan suntikan peruntukan berjumlah RM1 juta.
"Penubuhan yayasan ini dapat membantu kerajaan negeri mengendalikan keperluan semasa seperti pengurusan operasi, pencarian dana dan latihan kemahiran diperlukan dalam merealisasikan program pemberdayaan OKU di Selangor,” katanya.