Wanita PKR Terengganu tolak Sharifah

Iklan
Ketua-ketua wanita cabang PKR Terengganu yang menang dalam pemilihan lalu, menolak pelantikan Sharifah Norhayati.

KUALA TERENGGANU - Ketua-ketua Wanita Cabang PKR Terengganu sebulat suara menolak pelantikan Sharifah Norhayati Syed Omar sebagai Ketua Wanita PKR Terengganu, kerana disifatkan tidak mengikut peraturan parti.

Ia susulan pelantikan semula Sharifah sebagai ketua wanita, sebagaimana yang telah diumumkan Ketua Wanita PKR Pusat, Haniza Talha sebelum ini.

Iklan
Iklan

Ketua Wanita Cabang Dungun, Armila Alias berkata, pelantikan itu tidak mengikut dasar parti seperti yang termaktub dalam Peraturan Tetap Wanita (7.4).

"Dalam peraturan parti jelas menyebut bahawa ketua wanita negeri hendaklah dilantik oleh ketua wanita Pusat dengan mendapat nasihat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) dan setelah berunding dengan ketua-ketua wanita cabang di negeri berkaitan.

Iklan

"Maka, kami ketua-ketua wanita cabang negeri Terengganu telah mengadakan perbincangan berhubung perkara di atas dan telah sebulat suara menolak pelantikan Sharifah Norhayati Syed Omar sebagai Ketua Wanita PKR Terengganu, sebagaimana yang telah diumumkan oleh Ketua Wanita Pusat,” katanya pada sidang media di Pejabat PKR di sini, hari ini.

Sharifah Norhayati Syed Omar

Armila berkata, pihaknya telah menghantar surat bantahan dan masalah itu sudah sampai ke pengetahuan presiden, ketua wanita dan majlis pimpinan pusat dan MPN Terengganu, namun masih tiada maklum balas yang diterima.

Iklan

Ditanya adakah ia berkait dengan ‘team Azmin’ dan ‘team Rafizi, beliau sebaliknya menyangkal dakwaan itu.

Jelasnya, amat sukar untuk mereka bekerjasama dengan individu yang mereka tidak dapat terima dan juga ditolak sebulat suara oleh MPN.

"Sebelum ini tiada perundingan dengan wanita cabang negeri. Dia juga bukan orang Terengganu, tetapi dia ahli majlis di Selangor.

"Pelantikan ini dibuat sebelum pengerusi perhubungan dilantik, sedangkan jika mengikut peraturan, ia perlu mendapat persetujuan pengerusi perhubungan negeri. Jadi, sekarang ini pelantikannya tidak mengikut prosedur.

"Syarifah dilantik tanpa pengetahuan ketua wanita cabang yang menang dalam pemilihan yang lalu. Sebab itu kami sekeras-kerasnya membantah dan menolak apa yang dibuat oleh Pusat, kami tidak bersetuju,” katanya.

Jelas Armila, mereka mengharapkan masalah itu mendapat perhatian pimpinan pusat memandangkan keputusan yang dibuat adalah satu kesilapan.

"Kenapa semasa perundingan, negeri-negeri lain mengikut apa yang ketua wanita cabang kehendaki tetapi kenapa apabila di Terengganu, permintaan kami tidak dilayan?,” katanya.

Difahamkan, Mesyuarat Wanita PKR Terengganu yang dipengerusikan Sharifah Norhayati telah diadakan pada 28 Disember lalu di Hotel Sumai, namun kesemua ketua wanita cabang yang menang dalam pemilihan yang lalu tidak dijemput.

Beliau sebelum ini dilantik sebagai Ketua Wanita PKR selama setahun, dan merupakan calon PH bagi Dun Telemong dalam PRU14 yang lalu.