PONTIAN - Penduduk dan pengundi di kawasan Parlimen Tanjung Piai diminta melihat sumbangan bekas Ahli Parlimen kawasan itu, Allahyarham Dr Md Farid Md Rafik, dalam memilih wakil rakyat baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Parlimen itu pada 16 November ini.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahudin Ayub berkata, apa yang diperlukan penduduk adalah pemimpin yang benar-benar akan membantu mereka seperti yang telah dilakukan Allahyarham Dr Md Farid sebelum ini.
"Calon-calon yang dikemukakan ini (kerajaan dan pembangkang) terpulang kepada parti masing-masing yang sudah memikirkan yang terbaik.
"Yang penting saya rasa rakyat boleh menilai. Saya harap dan yakin bahawa dengan jasa juga rekod prestasi arwah Dr Farid, rakyat dapat bagi sokongan kembali kepada PH (Pakatan Harapan) untuk memenangi semula kawasan Tanjung Piai ini,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata demikian selepas menghadiri Majlis Makan Perpaduan bersama masyarakat umum di sini hari ini.
Salahuddin berkata demikian ketika ditanya mengenai pemilihan Karmaine Sardini, Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai yang akan mewakili PH, yang dijangka ditentang calon Barisan Nasional (BN) yang juga bekas penyandang, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, selain calon parti Gerakan yang juga Timbalan Setiausaha Agung Nasional parti itu, Wendy Subramaniam.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok sebagai hari penamaan calon dan 16 November sebagai hari mengundi bagi pilihan raya kecil Parlimen itu.
PRK itu diadakan selepas Dr Md Farid, 42, meninggal dunia akibat komplikasi jantung 21 September lalu. - Bernama