BANGI - Peneraju pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia, Brainy Bunch hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan peneraju solusi pembangunan modal insan di Asia Tenggara, ESQ Leadership Center.
MoU ditandatangani antara Pengarah Urusan Kumpulan Brainy Bunch, Mohd Fadzil Hashim dengan Presiden ESQ Group, Dr H C Ary Agustian.
Kerjasama terjalin itu akan merealisasikan sasaran yang telah ditetapkan untuk memberi impak kepada sejuta kanak-kanak berusia antara 2 hingga 6 tahun bakal tercapai dalam tempoh kurang daripada 10 tahun.
Menurut Mohd Fadzil, perjanjian tersebut satu simbolik rasmi kerjasama amat penting antara dua entiti yang mempunyai hala tuju dan objektif sama untuk melahirkan insan cemerlang berjaya di dunia bagi mencapai kejayaan di akhirat.
"Sasaran sejuta kanak-kanak berusia 2 hingga 6 tahun bakal mendapat manfaat dalam tempoh 10 tahun melalui kerjasama ini selaras dengan saranan Menteri Pendidikan Indonesia, Nadiem Makarim yang tekankan kepentingan anak-anak Indonesia kuasai bahasa Inggeris.
"Ia sebagai teras utama dalam menyediakan sumber daya manusia yang mampu menjadi teras kepada pembinaan Indonesia sebagai kuasa besar ekonomi dunia.
"Kerjasama ini akan beri kesan langsung kepada warga Indonesia dari segi sumber pekerjaan dalam sektor pendidikan," katanya selepas Majlis Menandatangani MoU antara Brainy Bunch dan ESQ Leadership Center di sebuah hotel di sini.
Mohd Fadzil berkata, pihaknya juga mensasarkan lebih 66,000 peluang pekerjaan sebagai guru terlatih dan 6,000 pekerja sokongan dalam kalangan warga Indonesia akan mendapat hasil daripada kerjasama itu.
"Melalui kekuatan ESQ, kita yakin dan percaya ia akan memberi satu lonjakan kepada Brainy Bunch Indonesia. Kerjasama ini bakal menjadikan ESQ Leadership Center menjadi rakan strategik Brainy Bunch di Indonesia.
"Kita juga berharap dapat gunakan model khas dibangunkan ESQ iaitu 'Modul Pembangunan Hati' khusus untuk program pembangunan guru-guru, kakitangan dan juga pelajar-pelajar Brainy Bunch Malaysia," katanya.
Katanya, antara kandungan perjanjian ialah hala tuju dan objektif yang perlu dicapai dari segi pelan perniagaan, penyediaan perjanjian rakan kongsi yang perlu disiapkan dalam tempoh tiga bulan yang boleh diubah atas persetujuan kedua belah pihak.
Sementara itu, Presiden ESQ Group, Dr H C Ary Agustian berkata, menerusi kolaborasi itu, ESQ Leadership Center mampu berkontribusi dalam pembangunan karakter untuk melahirkan generasi emas 2030-2045 sesuai visi ESQ.
Berdasarkan lebih 10 tahun pengalaman dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, Brainy Bunch kini mempunyai 103 cawangan di Malaysia, empat di Singapura, dua di Indonesia dan satu sekolah tajaan di Gaza.