Calon PRK Tanjung Piai hadir awal ke pusat penamaan calon

Iklan
Karmaine (tengah) yang juga Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai berarak bersama jentera PH pada proses penamaan calon bagi PRK Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim hari ini. - Foto Bernama

PONTIAN - Suasana meriah dapat dilihat di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai apabila ia dipenuhi oleh calon PRK itu bersama penyokong mereka.

Bagaimanapun, situasi berada dalam keadaan terkawal dengan lebih 400 anggota dan pegawai polis ditempatkan di pusat penamaan calon dan kawasan berhampiran.

Iklan
Iklan

Keadaan cuaca setakat ini baik dan dijangka melancarkan lagi proses penamaan calon yang bermula jam 9 pagi dan berakhir sejam kemudian.

Tiga laluan yang berdekatan dengan pusat penamaan calon iaitu Jalan Osman, Jalan Ismail dan Jalan Dewanakan ditutup sementara sejak jam 8 pagi bagi memudahkan pergerakan bakal-bakal calon dan penyokong masing-masing.

Iklan
Penyokong PH berarak ke pusat penamaan calon bagi PRK Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim hari ini. - Foto Bernama

Sekitar jam 8 pagi, calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini daripada Bersatu tiba bersama pimpinan tertinggi parti antaranya Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun serta pemimpin-pemimpin kanan parti komponen Pakatan Harapan (PH) daripada PKR, DAP dan Amanah serta ribuan penyokong mereka.

Turut kelihatan calon Gerakan yang merupakan Timbalan Setiausaha Agung Nasionalnya, Wendy Subramaniam bersama-sama Presiden parti, Datuk Dominic Lau.

Iklan

Kira-kira 50 meter dari kawasan itu, kelihatan pula calon Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) yang meletakkan Presidennya, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz yang hadir bersama-sama penyokong dengan tema hijau putih.

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Wee Jeck Seng pula tiba di pusat penamaan calon pada pukul 8.50 pagi bersama pemimpin-pemimpin utama daripada parti komponen BN.

Anggota polis mengawal sekitar kawasan pusat penamaan calon bagi PRK Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim hari ini. - Foto Bernama

Turut kelihatan seorang pengasas pusat tuisyen, Dr Ang Chuan Lock yang hadir untuk bertanding sebagai calon Bebas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon dan 16 November sebagai hari mengundi bagi pilihan raya kecil parlimen itu.

PRK itu diadakan selepas penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 21 September lalu. - Bernama