LAHAD DATU - Mangsa lelaki yang selamat dalam kejadian bot karam pada Khamis lalu mendedahkan bot dinaikinya dari Bongao menuju ke Sibutu, Filipina, karam pada 22 Oktober sebelum ditemui hanyut di perairan Merabung, Tungku, Lahad Datu.
Ketua Polis Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, pada 6 petang 22 Oktober itu, Long Sahlihi, 29, bersama anak perempuannya Zia, 1, ke jeti bot penumpang di Bongao bertujuan hendak balik ke Sibutu untuk menghadiri pesta kanak-kanak sekolah pada 6 petang.
"Berdasarkan keterangan mangsa, setibanya di jeti, terdapat satu bot penumpang mahu ke Sibutu dan di atas bot ada empat lelaki serta seorang wanita lain.
"Mangsa dan anaknya turut menaiki bot berkenaan dan menyerahkan tambang 200 peso kepada juragan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Nasri, bot dinaiki mangsa karam selepas sejam perjalanan dengan hadapan bot tenggelam ke laut.
"Dalam keadaan kelam kabut, mangsa merangkul anaknya dan mencapai satu tong jerikin dan berpaut pada tong berkenaan. Mangsa menyedari anaknya terlepas daripada dakapannya pada keesokannya dan hari ketiga kejadian (Khamis), mangsa ditemui dan diselamatkan di perairan Merabung," katanya.
Nasri berkata, kes itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk membuat keputusan sama ada mangsa yang direman sejak 24 Oktober lalu didakwa atau sebaliknya.
Sebelum ini, Nasri berkata, mangsa enggan bekerjasama dan bertindak berdiam diri ketika soal siasat dijalankan.
Media melaporkan sebelum ini, sembilan individu menaiki sebuah bot dari Sibutu, Filipina, bagaimanapun, bot itu dipercayai karam dan seorang mangsa lelaki yang selamat ditemui di perairan Merabung, Tungku dekat sini pada Khamis lepas.
Dua mayat masing-masing seorang lelaki dan wanita dipercayai mangsa bot karam itu ditemui terapung di perairan Bangingod, Tungku pada Jumaat dan perairan Pulau Mataking, Semporna pada Sabtu, menjadikan enam orang masih hilang.
Sementara itu, Pasukan Polis Marin (PPM) menamatkan sepenuhnya operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada 29 Oktober lalu selepas enam hari pencarian mangsa di perairan Lahad Datu, Semporna sehingga sempadan Filipina. Bernama