KUALA TERENGGANU - Kesan tempias Ribut Tropika Pabuk yang melanda Terengganu sejak tiga hari yang lalu semakin beransur pulih.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT), Lt. Kol (PA) Che Adam A. Rahman berkata, secara keseluruhannya, keadaan angin beransur pulih dan tidak ada lagi angin kencang yang dikesan buat masa ini.
Menurutnya, cuaca di negeri ini juga secara keseluruhannya baik dan sedikit mendung di beberapa tempat dan daerah pedalaman Terengganu.
"Kita merujuk pada Jabatan Meteorologi yang menjangkakannya akan pulih sepenuhnya pada tengah hari ini atau lewat petang ini.
"Keadaan ombak di luar pantai juga beransur baik, dijangkakan antara 1 hingga 1.15 meter dan dijangka akan kembali normal dalam tempoh 24 jam daripada sekarang.
"Namun, kami masih lagi menasihatkan orang ramai dan penduduk terutamanya yang tinggal di tepi pantai, supaya tidak lagi melakukan aktiviti rekreasi dan melakukan aktiviti di pinggir pantai untuk mengelakkan apa-apa kesan yang mungkin akan berlaku apabila sesekali ombak membadai di kawasan pantai,” katanya.
Jelas beliau, pihak sekretariat JPBNT masih lagi bersiap siaga, memandangkan Terengganu masih lagi berada dalam monsun Timur Laut yang dijangkakan sehingga Mac tahun ini.
Sementara itu katanya, amaran cuaca waspada (kuning) dan amaran laut bergelora bagi Terengganu telah ditamatkan pada jam 10 pagi tadi.