PUTRAJAYA - Tujuh Ketua Setiausaha (KSU) kementerian antara yang terlibat dalam rombakan yang melibatkan pertukaran jawatan, semalam.
Rombakan tersebut turut melibatkan pertukaran tiga Timbalan Ketua Setiausaha, seorang Setiausaha Kerajaan Negeri dan seorang wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke jawatan KSU kementerian.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ismail Bakar berkata, pengisian jawatan-jawatan tersebut dilaksanakan berikutan kekosongan jawatan akibat persaraan wajib dan tamat tempoh kontrak penyandang.
Katanya, ia juga mengambil kira keperluan untuk dibuat pusingan penempatan dalam kalangan KSU-KSU kementerian sedia ada.
"Ini merupakan langkah pembaharuan kepada perkhidmatan awam yang merupakan elemen penting dan tulang belakang pentadbiran negara.
"Saya percaya pengisian jawatan KSU-KSU ini akan memperkukuhkan lagi barisan pengurusan tertinggi di peringkat kementerian dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan dengan berkesan dan memberikan perkhidmatan yang terbaik demi kemakmuran rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
KSU Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim ditukarkan ke Kementerian Kerja Raya dan tempat beliau digantikan oleh Datuk Dr Mohd Ghazali Abas yang sebelum ini KSU Kementerian Pendidikan.
KSU Kementerian Pendidikan kini digalas oleh Datuk Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan yang sebelum ini Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis.
Datuk Seri Saripuddin Kasim yang sebelum ini KSU Kementerian Pengangkutan ditukarkan ke Kementerian Wilayah Persekutuan.
Tempat Saripuddin digantikan Timbalan KSU (Dasar), Kementerian Pengangkutan, Mohd Khairul Adib Abd Rahman.
Manakala, KSU Kementerian Luar Negeri dipegang Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob yang sebelum ini merupakan Wakil Tetap Malaysia ke PBB, New York.
Timbalan Ketua Setiausaha (Kepenggunaan dan Pengurusan), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Muez Abdul Aziz pula dinaikkan pangkat ke jawatan KSU kementerian sama.
KSU Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr Tan Yew Chong pula ditukarkan ke Kementerian Industri Utama.
Tempatnya digantikan Datuk Zurinah Pawanteh yang sebelum ini KSU Kementerian Industri Utama.
KSU Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Isham Ishak pula ditukarkan ke Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Datuk Lokman Hakim Ali yang sebelum ini KSU Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ditukarkan ke Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Tempatnya digantikan Dr Waitchalla R R V Suppiah yang sebelum ini Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.