Banyak kelebihan jika pengundi pilih calon PH: Muhyiddin

Iklan
Muhyiddin dan barisan pemimpin PH bergambar bersama dengan Calon PH, Karmaine Sardini selepas Penamaan Calon PRK P165 Tanjung Piai di Pusat Penamaan Calon PRK P165 Tanjung Piai hari ini. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

PONTIAN - Pemilihan Karmaine Sardini sebagai calon Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai adalah tepat bagi meneruskan legasi kepimpinan kerajaan di kawasan Parlimen itu.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, apabila kira-kira 53,000 pengundi Tanjung Piai memilih Karmaine, akses bagi mendapatkan bantuan daripada agensi kerajaan akan lebih mudah berbanding memilih calon pembangkang.

Iklan
Iklan

"Dia dari PH, dia bukan pembangkang. Kalau ingin pilih pembangkang bolehlah tetapi kerana dia daripada kerajaan PH wakil kita, ini saya kira penduduk di sini akan dapat satu cara yang agak lebih mudah dalam menyampaikan masalah penduduk mendapatkan peruntukan pembangunan diperlukan, bantu soal-soal kebajikan, pendidikan dan ekonomi.

"Bukan nak kata kita lebih hebat, tetapi hakikatnya, inilah realiti,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini hari ini yang turut dihadiri kepimpinan tertinggi PH antaranya Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Zuraidah Kamaruddin dan Timbalan Presiden,Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Iklan

Karmaine diumum sebagai salah seorang dari enam calon yang akan bertanding pada PRK itu, yang bakal ditentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, calon Gerakan, Wendy Subramaniam, calon Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz dan dua calon Bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock, 49, pengasas pusat tuisyen, dan Faridah Aryani Abd Ghaffar, 45, seorang ahli perniagaan.

Menurut Muhyiddin, Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai itu merupakan seorang tokoh yang berpengalaman dan mempunyai latar belakang yang baik termasuk menjadi imam masjid sekaligus bakal menjadi pilihan hati pengundi.

Iklan

Menyentuh mengenai fokus PH dalam PRK itu, Muhyiddin berkata, lima perkara menjadi tumpuan membabitkan kos sara hidup, peluang pekerjaan, kesihatan, kualiti hidup dan pendidikan.

"Kita akan menekankan kepada beberapa perkara bagaimana ingin menjelaskan isu-isu pokok yang dihadapi penduduk bagaimana kita ingin bantu mereka,” katanya sambil menambah jentera PH sudah bersedia sejak sebulan lepas di 27 pusat daerah mengundi (PDM) dalam menghadapi PRK ini.

Bagi memudahkan pengundi luar terutama yang bekerja di Singapura untuk pulang mengundi, Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, satu laluan khas bakal disediakan di Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin, di Johor Bahru yang dibuka awal pagi pada hari pengundian 16 November ini.

Kerusi Parlimen Tanjung Piai sebelum ini disandang Allahyarham Dr Md Farid Md Rafik yang meninggal dunia pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Dr Md Farid mewakili PH memenangi kerusi Parlimen itu dengan memperoleh 21,255 undi menewaskan Jeck Seng (20,731 undi) dan calon Pas, Nordin Othman (2,962 undi).- Bernama