KUALA LUMPUR - Kerajaan merancang untuk menerbitkan RM14.2 bilion hutang langsung secara kasar sambil menebus semula RM21.6 bilion dalam tempoh dua bulan terakhir tahun ini.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini berkata, dengan itu penerbitan bersih hutang langsung bagi tempoh itu adalah -RM7.4 bilion.
Beliau berkata, aktiviti pembiayaan kerajaan bagi tahun ini sedang berlangsung seperti dirancang dan ini dibuktikan dengan aktiviti penerbitan dan penebusan sebenar hutang langsung.
"Berdasarkan anggaran tahunan 2019 dan rancangan pembiayaan yang terbaru, kerajaan akan menerbitkan RM135 bilion hutang langsung sambil menebus RM83 bilion, dan oleh demikian hutang langsung yang akan diterbitkan untuk seluruh tahun 2019 dianggarkan RM52 bilion.
"Kerajaan tidak berniat untuk mengubah rancangan penerbitan hutang langsung dan penebusan untuk bulan November dan Disember tahun ini.
"Oleh itu, kerajaan yakin akan menepati sasaran defisit fiskal 2019 berjumlah RM52 bilion atau 3.4 peratus berbanding keluaran dalam negara kasar (KDNK), iaitu lebih rendah berbanding defisit fiskal 2018 sebanyak RM53.4 bilion atau 3.7 peratus berbanding KDNK,” katanya.
Keyakinan itu dikongsi oleh semua tiga agensi penarafan kredit antarabangsa terkemuka, yang telah mengesahkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada paras A- atau A3 dengan unjuran stabil sejak kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pada 2018.
Sementara itu, menurutnya, bagi tempoh Januari hingga Oktober 2019, kerajaan telah menerbitkan RM121 bilion hutang langsung secara kasar, merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia bernilai RM51.5 bilion, Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (RM50.5 bilion); bil Perbendaharaan (RM11.5 bilion); dan instrumen lain termasuk bon Samurai bernilai RM7.5 bilion.
"Pada masa yang sama, kerajaan telah menebus hutang langsung bernilai RM61.7 bilion bagi tempoh sama dan secara khususnya pada bulan Oktober 2019, kerajaan telah menerbitkan hutang langsung bernilai RM10.0 bilion.
"Kerajaan juga pada bulan yang sama telah menebus hutang langsung bernilai RM11.8 bilion. Ini bermakna penerbitan hutang bersih langsung pada Oktober 2019 adalah -RM1.8 bilion. Sesiapa yang mendakwa sebaliknya barangkali merupakan pembohong tegar, jahil atau tidak mampu membaca data kewangan secara tepat,” katanya. - Bernama