KAPTEN Johor Darul Ta’zim (JDT), Harris Harun bertekad menjulang Piala Malaysia tahun ini selepas terlepas menjulang piala berprestij itu dua tahun lalu.
Pada 2017, Harris dipinjamkan ke kelab Liga Divisyen Dua Sepanyol, Ce L’Hospitale untuk berkelana mencari pengalaman sekali gus terlepas detik indah menjulang Piala Malaysia bersama skuad Harimau Selatan.
"Sudah tentu bila beraksi di pentas final, setiap pemain mahukan kemenangan dan sudah tentu ia tiada kaitan dengan kemampuan individu semata-mata, namun lebih kepada kerja berpasukan.
"Objektif kami pada perlawanan final ini adalah mahu menang dan bersedia menghadapi perlawanan malam ini tanpa sebarang masalah,” katanya.
Untuk rekod, pemain berusia 28 tahun itu sudah berjaya menjulang kejuaraan Liga Super dan Piala FA, namun setakat ini belum pernah mendakap Piala Malaysia sepanjang berkhidmat bersama JDT.
Sementara itu, Kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar mahu membalas dendam kekalahan 0-2 kepada JDT dalam aksi final Piala Malaysia pada 2017.
Menyedari pasukan yang bakal ditentang bukan calang-calang, Baddrol memberitahu, Lang Merah sudah bersedia sepenuhnya mengekang kekuatan juara enam kali Liga Super itu.
"Motivasi semua pemain berada pada tahap terbaik dan saya mengharapkan semua pemain dapat memberikan yang terbaik untuk membalas dendam kekalahan pada 2017.
"Namun, kami tidak mahu berada dalam tekanan dan hanya mahu menikmati perlawanan malam ini,” katanya yang turut berjanji untuk mengekang jentera tengah JDT yang dianggap ‘enjin’ utama gergasi selatan tanah air itu.