TONGGAK pertahanan kanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold tidak menyembunyikan hasratnya untuk menjadi kapten skuad The Reds suatu hari nanti.
Ketika ini, Alexander-Arnold merupakan sebahagian watak penting Liverpool dalam era pengendali The Reds, Jurgen Klopp dan turut disenarai pendek calon yang akan merebut anugerah Ballon d’Or 2019.
Alexander-Arnold akan membuat penampilan ke-100 bersama The Reds pada pertemuan menentang Aston Villa dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Villa Park malam ini - tiga tahun selepas dia melakukan penampilan sulung di peringkat senior.
Menjelang penampilan penting bersama kelab kesayangannya itu sejak kecil lagi, Alexander-Arnold mengakui dia sudah memasang impian untuk menjadi kapten Liverpool.
Pada masa sama, pemain berusia 21 tahun itu tidak dapat membayangkan jika dia beraksi bersama kelab lain.
"Saya tidak malu untuk mengakui (menjadi kapten Liverpool) sebagai impian saya. Sama ada ia akan menjadi kenyataan atau tidak, ia bukan terletak di tangan saya kerana bukan saya yang memilih kapten.
"Bagaimanapun, ia sesuatu yang mahu saya lakukan suatu hari nanti. Mengetuai Liverpool sentiasa menjadi impian saya dan ia sesuatu yang memotivasikan saya.
"Saya sentiasa pemain Liverpool dan ia sentiasa menjadi rumah saya. Saya tidak pernah terfikir untuk bertukar kelab. Ketika saya membesar, impian saya adalah untuk beraksi bersama Liverpool,” katanya.
Dalam pada itu, Klopp berpendapat skuad kendaliannya kini memiliki ramai pemain muda berbakat dan berkualiti sebagaimana yang ditunjukkan mereka ketika menyingkirkan Arsenal dalam saingan Piala Liga Inggeris (EFL) awal pagi kelmarin.
Menurut Klopp, dengan mempertaruhkan pemain muda seperti Harvey Elliot, Rhian Brewster, Sepp van den Berg, Neco Williams, Joe Gomez dan Caoimhin Kelleher, mereka mendapat satu pengalaman yang tidak ternilai harganya.
"Sebagai seorang pengurus mungkin saya lebih risau tentang matlamat yang dicapai, tetapi saya tidak peduli. Kesilapan yang kami buat jelas tetapi itu tidak penting. Apa yang lebih penting adalah untuk pembangunan dan kami telah bertindak dengan betul.
"Kesemua pemain-pemain muda ini perlu bermain dalam permainan yang sukar. Mereka telah bekerja keras dan meletakkan jiwa dan semangat di tengah padang, saya sangat menyukainya,” katanya.