Biar Agong, Parlimen tentukan takdir Perdana Menteri
Muhyiddin disaran lakukan tiga perkara untuk tangani situasi politik negara
SHAH ALAM- Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin disarankan untuk melakukan tiga perkara dalam menangani situasi politik negara yang semakin genting antara Putrajaya dan Istana Negara bagi memastikan beliau masih mempunyai sokongan kerusi dalam Parlimen.
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, perkara utama yang harus dilakukan oleh Perdana Menteri adalah mengaku salah, mohon maaf dan pulang balik ke Parlimen untuk mengetahui nasib jawatan Perdana Menteri yang ditentukan oleh Parlimen.
"Pertama, kena mengaku bahawa adanya kekhilafan di pihak kerajaan dan mohon maaf. Konflik berlaku apabila kerajaan mengeluarkan kenyataan bahawa ordinan darurat sudah dibatalkan pada persidangan 26 Julai lalu dan ia menjadi persoalan semua rakyat Malaysia.
"Dalam konteks ini, jika masih bermaruah, serahkan nasib kepada Parlimen. Tunggu sesi persidangan pada September akan datang dan sekiranya Parlimen berjalan seperti biasa, biarkan Parlimen menentukan nasib jawatan Perdana Menteri itu,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Seterusnya, sekiranya masih benar terdapat kekhilafan dan kesalahan daripada pihak kerajaan, maka ambil tindakan atau tatatertib kepada Jawatankuasa Disiplin yang boleh dihadapkan kerana mengelirukan dewan dan rakyat.
"Yang Dipertua Dewan Rakyat boleh melihat sama ada wujud perlanggaran atau tidak dan jika ini berlaku, mereka yang bersalah mungkin boleh diletakkan dalam kes mengelirukan dewan dan dihadapkan tindakan tatatertib.
"Jika besar lagi ‘collective responsibilities’ kerana itu adalah kapasiti beliau sebagai ahli kerajaan, maka, kabinet harus melihat dan menentukan sama ada beliau harus letak jawatan atau terpulang kepada parlimen untuk undi seperti mana yang diminta oleh pembangkang,” katanya.
Selain itu, Mujibu berkata, tidak perlu Akuan Bersumpah ahli-ahli Parlimen untuk mengatakan bahawa beliau masih banyak sokongan dan hendaklah diselesaikan mengikut lunas Parlimen.
"Saya rasa tidak perlu untuk ke tahap itu dan hanya selesaikan mengikut lunas parlimen dahulu. Jika benar-benar perlu, maka, barulah pergi ke tahap seterusnya iaitu undi percaya atau tidak percaya.
"Selain cara itu, kemungkinan Yang di-Pertuan Agong boleh melakukan tindakan seperti kejadian tahun lalu di mana Seri Paduka Baginda memanggil semua menteri untuk menunjukkan bukti jumlah sokongan dan sebagainya,” katanya.
Tambah beliau, penjelasan daripada pihak Istana juga tidak perlu kerana telah jelas apa yang dititahkan Seri Paduka Baginda dan kenyataan itu sudah cukup menggambarkan situasi dan keadaan politik negara ketika ini.
"Rasanya sudah jelas apa yang dinyatakan oleh Istana dan apa yang tidak dilaksanakan oleh kerajaan. Jika ini berlaku, semua proses di Parlimen cukup untuk melakukan segala tindakan.
"Seperti dakwaan, kemungkinan kerajaan takut akan undian itu memang ada kerana apabila disahkan kalah, Pakatan Nasional sudah tidak memiliki kerajaan. Undi sepatutnya dibuat kerana kita masih tidak tahu apa akan berlaku tetapi apabila isu ini terjadi, seolah-olah melambangkan pembangkang lebih ‘solid’ daripada kerajaan,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan pembatalan ordinan-ordinan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong tidak lagi berbangkit selepas Proklamasi Darurat tamat 1 Ogos.
Oleh itu, satu usul untuk membahas dan merungkaikan ordinan-ordinan darurat berkenaan boleh dibawa dalam sidang Parlimen seterusnya pada September 2021.
Dalam pada itu, Pakar Perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, menurut kenyataan Perdana Menteri itu, darurat telah tamat pada 1 Ogos namun ordinan secara perundangan belum tamat dan masih berterusan semalam enam bulan bermula 2 Ogos.
"Kalau ikut peruntukan perlembagaan, apabila proklamasi tamat pada 1 Ogos, mengikut fasal 7 perkara 150, ordinan akan berterusan selama enam bulan.
"Oleh itu, ordinan itu secara perundangannya belum tamat lagi kerana belum dibatalkan namun tiada sebarang perubahan akan berlaku pada perlembagaan,” katanya.
Walaubagaimanapun, Nik Ahmad Kamal berkata, dengan kenyataan ini, jelaslah bahawa ordinan tersebut belum dapat dibatalkan secara sah kerana belum mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong walaupun terdapat cubaan tamatkan darurat sebelum 1 Ogos lalu.
Dalam pada itu, setakat jam 6.30 petang tadi, timbul desas-desus kemungkinan kerajaan Muhyiddin tumbang berikutan sidang media Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi yang mengakui mempunyai cukup surat akuan ditandatangani ahli-ahli Parlimen UMNO untuk menarik sokongan kepada Ahli Parlimen Pagoh itu.
Kata Zahid, beliau telah mempersembahkan surat akuan tersebut kepada Seri Paduka Baginda sekali gus menunjukkan Muhyiddin hilang majoriti sebagai ketua kerajaan.