KUALA LUMPUR - Cubaan seorang penghantar makanan meragut beg tangan seorang wanita di hadapan kondominium Seni Mont Kiara di sini, gagal apabila mangsa berjaya menarik semula beg tangannya.
Dalam kejadian kira-kira 4 petang pada Khamis lepas itu, mangsa yang sedang berdiri di hadapan kondominium berkenaan telah didatangi penunggang motosikal yang membawa kotak penghantaran makanan sebuah syarikat lalu menyentap beg tangan wanita berkenaan.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin berkata, polis telah membuat semakan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian melalui penelitian awal video yang tular di media sosial.
"Rakaman CCTV mendapati kejadian itu adalah cubaan ragut. Seorang lelaki yang menunggang sebuah motosikal berpakaian seragam dan ada kotak penghantaran makanan cuba meragut beg tangan mangsa yang sedang berdiri di hadapan kondominium itu," katanya melalui kenyataan media.