PKS diingat tingkatkan inovasi, daya kreatif: Wan Azizah

Iklan
Dr Wan Azizah (depan, tengah) bersama Saifuddin Nasution (belakang, kanan) melawat gerai pameran 'Price Charter' pada Majlis Perasmian Karnival Beli Barangan Malaysia 2019 Peringkat Kebangsaan di Plaza Angsana Johor Bahru hari ini. -Foto Bernama

JOHOR BAHRU - Pengeluar produk khususnya Perusahaan Industri Kecil dan Sederhana (PKS) perlu meningkatkan kemampuan inovasi dan daya kreatif supaya dapat mengeluarkan produk berkualiti dan bersih seperti kehendak pengguna.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, para pengeluar juga perlu meningkatkan produktiviti, kecekapan dan daya saing mereka supaya hasil produk boleh dipasarkan pada harga kompetitif.

Iklan
Iklan

"Selain itu, saya ingin menasihatkan semua pengeluar produk yang relevan agar mendapatkan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) supaya barangan tuan puan mudah dijual bukan hanya di dalam negara, malah mampu dieksport.

"Bagi pengedar pula, tuan puan perlu mempunyai sistem pengedaran yang efisien supaya kos penghantaran dan pergudangan dapat dikawal pada satu tahap yang berpatutan, satu daripada elemen penting supaya harga runcit barangan terus kompetitif," katanya ketika berucap merasmikan Karnival Beli Barangan Malaysia (KBBM) Peringkat Kebangsaan di Plaza Angsana Johor Bahru di sini hari ini.

Iklan

Beliau dalam pada itu turut mengingatkan rakyat di negara ini supaya menyokong dan membeli barangan buatan tempatan bagi merancakkan ekonomi domestik negara.

"Langkah kerajaan untuk memperkasakan perbelanjaan dalam negara menerusi inisiatif seperti Kempen Beli Barangan Malaysia ini adalah bertepatan dan sangat signifikan bagi mengimbangi cabaran serta tekanan globalisasi ekonomi semasa.

Iklan

"Sekiranya semua rakyat Malaysia menyokong inisiatif ini dengan mempertingkatkan pembelian barangan tempatan, sudah tentunya ia akan merancakkan ekonomi domestik di negara ini, mempertingkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan sekali gus mengelakkan pengaliran wang keluar dari negara ini," katanya.

Dr Wan Azizah berkata, penganjuran karnival berkenaan selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang telah dilancarkan Perdana Menteri pada awal bulan lepas.

"Wawasan ini beriltizam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif kepada semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan," katanya.

KBBM 2019 yang dianjurkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu berlangsung selama lima hari bermula Rabu, yang disertai 180 pempamer terdiri daripada pengilang, peruncit, francais dan PKS serta lebih 300 usahawan tempatan.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - Bernama