RANTAU PANJANG - Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA), Pengkalan Chepa berjaya mematahkan cubaan menyeludup 1.6 juta batang rokok bernilai lebih RM2.4 juta pada jam 4 pagi tadi.
Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Ab Aziz Che Embong berkata, rampasan itu dibuat di Pangkalan Haram Kuala Jambu membabitkan 8,000 karton rokok yang dimuatkan di dalam 160 kotak.
Katanya, serbuan tersebut dibuat hasil intipan di kawasan Ops Wawasan Kelantan yang mengesan sekurang-kurangnya lima lelaki sedang memunggah kotak dari Sungai Golok ke dalam sebuah lori di tebing sungai sebelah Malaysia.
"Ketika serbuan kelima-lima lelaki terbabit bertindak melarikan diri dengan terjun ke Sungai Golok dan meninggalkan semua barang yang diseludup dari Thailand,” katanya pada sidang akhbar di di Markas Taktikal Lubok Stol Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am, Lubok Stol hari ini.
Ab Aziz berkata, mereka menggunakan modus operandi membawa masuk barang seludup dari negara jiran pada lewat pagi dan menggunakan lori yang boleh mengelirukan pihak berkuasa.
"Mereka turut menggunakan lori yang kedap bau. Bagaimanapun taktik itu berjaya dihidu oleh anggota PGA,” katanya.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati kesemua rokok berkenaan untuk pasaran tempatan.
Katanya, lori yang digunakan untuk mengangkut barang seludup bernilai kira-kira RM80,000 turut dirampas.
AB Aziz memberitahu, Jumaat lalu pihaknya dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas minyak masak dan tepung gandum bernilai RM50,000.
Beliau turut menyarankan penduduk di sempadan Sungai Golok dapat menyalurkan sebarang maklumat jenayah rentas sempadan dan aktiviti penyeludupan kepada pihak berkuasa.