GUA MUSANG - Bah kuning 2014, air masuk dalam rumah hanya paras buku lali tapi banjir semalam, air masuk hingga paras pinggang, kata mangsa banjir kilat di Kampung Tanah Putih di sini.
Menurut Mohamad Afendi Rajab, 43, situasi semalam amat mencemaskan kerana anaknya, Muhamad Zulkhairi, 19, yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) terbaring di atas tilam yang digenangi air.
Katanya, air mula memasuki rumahnya sekitar jam 10 malam dan dia tidak sempat menyelamatkan harta benda kerana hanya dalam tempoh setengah jam air sudah melimpah.
"Saya tinggal berenam di rumah dan bimbang keselamatan anak saya kerana dia lumpuh sejak kecil.
"Apabila air mula membasahi tilamnya, saya bawa dia ke kawasan yang lebih tinggi di dalam rumah namun tilamnya masih terendam dalam air.
"Pada jam 3 pagi, rakan-rakan dan ketua kampung membantu saya mendukung anak OKU saya ke rumah besan di kawasan berhampiran," katanya.
Afendi berkata, air surut pada jam 4.30 pagi dan dia membawa pulang anaknya ke rumah selepas kerja-kerja membersihkan rumah selesai petang ini.
"Ini adalah pengalaman paling perit sepanjang tinggal di sini kerana lebih teruk dari bah kuning lima tahun lalu. Air naik terlalu pantas mungkin kerana kerja-kerja pembinaan jalan berhampiran rumah kami yang menjejaskan aliran sungai.
"Kami masih bimbang kerana hujan mula turun sejak jam 5.30 petang dan jika berlarutan kejadian sama berulang malam ini dan seterusnya," katanya yang kerugian hampir RM10,000 apabila harta bendanya musnah ditenggelami air.
Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah, Mohd Yussalmi Yusoff berkata, banjir melanda empat kampung iaitu Kampung Tanah Putih, Kampung Lepan Jaya, Taman Agropolitan Rantau Manis dan Kesedar Sungai Asap.
Katanya, kejadian itu melibatkan 26 keluarga dan jumlah keseluruhan mencecah 138 mangsa.
"Satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka semalam pada jam 2 pagi di Surau Al Muhajirin Tanah Putih 2 menempatkan sembilan keluarga membabitkan 55 mangsa.
"APM bersama agensi lain seperti Pejabat Daerah, PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Unit Amal, bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.
"Mangsa banjir juga diminta mematuhi arahan bagi mengelakkan sebarang kemungkinan ketika banjir," katanya.