OKU dan peranan media massa
DI HARI Kemerdekaan ke-64 dengan pandemik Covid-19 serta kerajaan baharu, tiada banyak diimpikan orang kurang upaya (OKU). Kita menghampiri 2022 yang terus kabur melainkan para pemimpin melupakan politik dan bekerja keras memulihkan ekonomi negara. Kita memerlukan masa dan tempoh panjang. Diharapkan orang muda, generasi baharu yang mempunyai idea untuk bekerjasama dengan kerajaan memberi peluang dengan tidak mengenal bangsa.
Golongan OKU hanya sekadar mengharapkan agar kerajaan mendengar dan mengambil langkah menyegerakan segala tuntutan, itu pun kalau mengambil berat. Pertamanya kita perlukan Jabatan OKU yang dipimpin oleh OKU sendiri seperti di New Zealand untuk menjaga kepentingan OKU. Menurut kajian Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), sekitar 15 peratus daripada jumlah populasi sesebuah negara sebenarnya terdiri daripada golongan OKU. OKU bukanlah sekadar minoriti sesebuah negara, maka perincian, ruang dan langkah wajar perlu diambil bagi membolehkan OKU terlibat dalam pelbagai aspek pembangunan negara.