Politik profesional hadiah hari jadi
MEMORANDUM Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani tiga hari sebelum Hari Malaysia ke-58 adalah hadiah hari jadi terbaik untuk Malaysia.
Sungguhpun ada parti yang terlibat menafikannya sebagai satu Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (Confidence and Supply Agreement, CSA), ia sememangnya suatu CSA kerana Pakatan Harapan berjanji dalam perkara 3.3 mengambil pendirian menyokong atau berkecuali bagi undi Belanjawan 2022 dan undang-undang perbekalan atau kewangan yang berkaitan serta ‘apa-apa usul kerajaan atau rang undang-undang yang lain yang kegagalan meluluskannya merupakan satu bentuk ketidakpercayaan atau tidak keyakinan kepada kerajaan.
᾿Ini tidak bermakna bahawa Pakatan Harapan (PH) akan menjadi pak turut kerajaan dan memberi sokongan atau berkecuali secara membabi buta, tak kira apa kandungan belanjawan, usul atau rang undang-undang yang dibentangkan oleh kerajaan. PH dengan cermatnya memastikan untuk kedua-dua perkara kepercayaan dan perbekalan (belanjawan), penggubalan mesti dirundingi dan dipersetujui secara bersama dasarnya.
PH juga tidak terikat untuk menyokong atau berkecuali untuk sebarang usul atau rang undang-undang yang kegagalannya tidak membawa kejatuhan kerajaan.