SHAH ALAM - Video seorang cucu berkongsi gelagat datuknya yang merajuk dan menangis kerana cucunya ingin pulang ke bandar menjadi perhatian dan menerima pelbagai reaksi daripada netizen.
Perkongsian video yang dimuat naik oleh Mija menggunakan akaun @ngehngehngeh di Twitternya memaparkan warga emas yang dipanggil tok wan itu gagal menahan air mata kerana terpaksa berpisah dengan cucunya dan akan bertemu semula Disember nanti.
Mija memberitahu, suatu ketika dahulu datuknya seorang yang garang tetapi kini jiwanya semakin lembut seiring usianya.
"Orang tua makin hari makin sensitif eh. Tok wan aku dulu hati kental dan keras tetapi sejak sekarang ini sensitif kemain. Bila aku nak balik Shah Alam sahaja mesti menangis," tulis Mia di Twitternya.
Mija yang berkongsi dua video berdurasi 10 saat itu kini tular di media sosial dan kini meraih lebih 204,400 tontonan.
Netizen juga mengakui sebak lebih-lebih lagi melihat warga emas tersebut menangis dan ada juga yang berkongsi pengalaman sama serta berharap Mija menjaga tok wannya sebaik mungkin.
"Awak mengingatkan saya kepada datuk saya. Saya sangat merindukan dia bila melihat video awak. Sayangilah datuk awak dengan sebaiknya supaya awak tak akan rasa seperti mana yang saya rasa. Rindu seseorang yang di alam dunia lain," tulis @Neesnursya
@zatilaman pula berkata,"Perasaan orang tua memang bertukar jadi jiwa kanak-kanak. Nenek aku setiap kali aku nak balik, dia akan mengesot sampai anjung rumah. Siap kata kami dah tak sayang dia, sebab tu nak tinggal dia kat situ. setiap kali momen tu sampai, remuk hati itu Tuhan sahaja yang tahu,".