Narsisisme dalam masyarakat
ETIMOLOGI ialah ilmu yang mengkaji hal tentang sumber dan sejarah kata dan perubahan pada bentuk serta makna kata. Narsisisme ialah hal atau keadaan terlalu memuja atau mengagumi diri sendiri. Definisi kedua-dua istilah etimologi dan narsisisme ini terdapat sebagai entri Kamus Dewan Perdana (KDP), kamus bahasa Melayu terbesar di dunia yang baharu saja diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada tahun 2020.
Istilah narsisisme berasal daripada istilah narkissos (narcissus) dalam mitologi Yunani kurun pertama Masihi. Ia mempunyai hubungan yang rapat dengan sifat egosentrisisme. Orang yang egosentrik terlalu mementingkan kemahuan diri sendiri sahaja dan tidak menghiraukan perasaan atau keperluan orang lain (KDP, 2020). Ia memusatkan segala aktiviti serta minat dalam hayat kepada dirinya, kepada"Aku" dan"bukan selain daripada aku." Manusia yang berada dalam keadaan ini cukup berbahaya kepada orang lain kerana kehidupannya tidak berguna untuk keluarga dan masyarakatnya.