KPM nafi laporan kekurangan guru

Iklan
KPM menafikan dakwaan berlakunya kekurangan guru.

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan dakwaan sebuah akhbar tempatan yang melaporkan kekurangan guru berlaku kerana tiada unjuran keperluan guru.

KPM dalam satu kenyataan akhbar memberitahu dakwaan tersebut tidak tepat kerana sehingga Oktober lalu, peratus pengisian jawatan guru adalah sebanyak 97 peratus.

Iklan
Iklan

Menurutnya, KPM melaksanakan pengisian guru dari semasa ke semasa dalam kalangan graduan pendidikan lepasan Institusi Pendidikan Guru atau universiti awam tertakluk kepada kekosongan jawatan dan keperluan opsyen mata pelajaran.

"Urusan pengambilan guru dilaksanakan oleh KPM melalui pihak berkuasa melantik Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) yang dijalankan sepanjang tahun.

Iklan

"Malah, KPM sentiasa membuat pengiraan unjuran keperluan guru untuk tempoh lima tahun dengan mengambil kira pelbagai opsyen dan jenis sekolah di seluruh Malaysia," katanya.

Katanya, pengambilan pelajar ke Program Ijzah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) adalah berdasarkan pengiraan unjuran yang ditetapkan oleh KPM.

Iklan

Terdahulu, akhbar tempatan berkenaan melaporkan KPM ketika ini berdepan kemelut kekurangan pendidik bagi memenuhi permintaan sekolah di seluruh negara.

Di sekolah kebangsaan, kekosongan guru sedia ada direkodkan melebihi 6,000 orang tetapi keluaran Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) hanya membabitkan 1,676 guru yang akan ditempatkan pada November ini.

Berdasarkan maklumat pada laman sesawang KPM, data setakat Januari lalu menunjukkan ada 7,772 sekolah rendah di seluruh negara dengan lebih 2,2727,068 murid, namun hanya ada 182,587 guru.

Dalam pada itu, KPM menerusi kenyataan sama menegaskan bahawa pengisian guru juga adalah berdasarkan keperluan dan tidak menjejaskan pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

"Kekurangan guru adalah bersifat sementara antaranya disebabkan faktor luar jangka seperti persaraan pilihan, meninggal dunia, cuti separuh gaji dan tanpa gaji yang melebihi setahun, kursus yang melebihi setahun, ditamatkan perkhidmatan dan berhenti kerja atau letak jawatan.

"Kita juga melaksanakan pelantikan guru secara interim dalam kalangan graduan pendidikan daripada universiti awam atau institut pengajian tinggi swasta dan graduan pasaran terbuka bagi mengatasi isu kekurangan guru bagi mata pelajaran tertentu," katanya.