Taubat dan DNA ajaran sesat
SELEPAS muncul Agama Melayu pada awal tahun ini, tiada angin tiada ribut tiba-tiba datang pula ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT). Terbaru, seorang anak tergamak membunuh ibu ayah sendiri selepas bertelagah hal ketuhanan dipercayai akibat terpengaruh ajaran pelik. Si anak kemudian disahkan positif dadah jenis syabu.
Ajaran sesat nampaknya terus menjadi duri dalam daging yang mampu mengancam akidah umat Islam di Malaysia. Walaupun ketua ajaran sesat ini sering membuat dakwaan tidak masuk akal seperti boleh bertemu Rasulullah secara nyata dan bercakap dengan para malaikat, masih ada individu yang mempercayainya. Malangnya, sekali terjebak, pemulihan akidah akan mengambil masa yang sangat lama. Dalam sesetengah kes di negara ini, pengikut tegar ajaran sesat amat sedikit dapat dipulihkan. Ia seakan-akan telah menjadi DNA mereka.