Idris nafi buat panggilan kepada mana-mana VVIP
MELAKA - Bekas ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron menafikan membuat sebarang panggilan telefon atau berhubung dengan mana-mana pemimpin tertinggi UMNO untuk tempoh yang agak lama semenjak 'krisis' yang berlaku sebelum ini.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang itu berkata, sebarang panggilan telefon atau pertemuan fizikal tidak pernah dilakukan olehnya apatah lagi untuk bertemu dengan mana-mana pemimpin tertinggi UMNO.
Sehubungan itu, Idris yang juga bekas Exco Pembangunan Daerah, Luar Bandar, Pengurusan Banjir dan Teknologi Hijau negeri menegaskan, beliau tidak membuat sebarang telefon termasuk kepada individu berstatus VVIP yang dikaitkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Mutakhir ini terdapat beberapa sebaran audio perbualan telefon yang disebarkan pihak tertentu dengan motif tertentu, malah tidak dapat dipastikan ketulenannya.
"Baru-baru ini juga rakaman perbualan telefon yang kononnya antara saya dengan seseorang VVIP telah disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Saya menafikan telah membuat sebarang panggilan telefon kepada sesiapa pun termasuk VVIP yang dimaksudkan tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Tegasnya, dia tidak membuat panggilan telefon kepada sesiapa pun, namun segala perbualan telefonnya adalah bersifat peribadi.
Jelasnya, perbualan-perbualan tersebut adalah mengenai isu-isu yang telah dibangkitkan berkenaan kerakusan di dalam kepimpinan kerajaan negeri Melaka.
Katanya, semua itu dilakukan demi rakyat negeri Melaka yang masih bergelut dengan isu pandemik Covid-19 dan belenggu ekonomi.
"Dalam mencari penyelesaian kepada kemelut politik di Melaka, saya secara peribadi terbuka untuk segala sesi perbincangan.
"Malah, sejujurnya berterima kasih kepada mana-mana pihak yang turut sama cuba mencari penyelesaian segera demi kepentingan rakyat di Melaka.
"Walaupun begitu, fakta-fakta yang dibincang adalah relevan dalam mencari penyelesaian segera," katanya.