Langkawi dijangka terima tempias ribut Pabuk

Iklan
Bendera merah sebagai amaran dinaikkan di Pantai Chenang, Langkawi. (Gambar kecil: AWANG ASKANDAR)

ALOR SETAR - Kawasan utara Kedah terutamanya Pulau Langkawi dijangka menerima tempias daripada ribut tropika Pabuk, bermula hari ini hingga esok.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacob berkata, berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), dijangka angin lebih kencang dengan ketinggian ombak boleh mencecah sehingga 3.5 meter.

Iklan
Iklan

Sehubungan itu semua penduduk dan pelancong di Langkawi dinasihatkan menjauhi kawasan pantai bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

"Sepanjang dua hari ini, risiko pokok tumbang dan tanah runtuh juga lebih tinggi berbanding hari biasa.

Iklan

"Orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati terutama yang tinggal di tepi laut kerana ribut ini dijangka kuat,” katanya.

Beliau berkata, kawasan yang berisiko tinggi untuk dikunjungi akibat tempias ribuk Pabuk termasuk Kuala Muda dan Kuala Kedah.

Iklan

"Anggota APM melakukan tinjauan di empat menara penyelamat pantai iaitu di Pantai Chenang, Pantai Tengah dan Pulau Payar di Langkawi serta Pantai Merdeka di daerah Kuala Muda bagi memastikan keselamatan awam,” katanya.

Bendera merah sebagai amaran kepada pengunjung telah dinaikkan di Pantai Chenang, Pantai Tengah dan Pantai Merdeka pada tengah hari tadi.

"Orang ramai hendaklah peka pada bendera merah ini yang memaklumkan berbahaya kepada pengunjung berenang atau mendekati kawasan laut kerana risiko tinggi.

"Ibu bapa juga diminta memantau pergerakan anak mereka dibimbangi melakukan aktiviti di pantai,” katanya.

Tambahnya, berdasarkan pemantauan anggota APM, kawasan pantai di Kuala Kedah agak kurang berisiko berbanding Kuala Muda dan Langkawi, namun penduduk hendaklah sentiasa waspada.

"Kemungkinan kemuncak tempias ribut Pabuk adalah esok, manakala pada Ahad (6 Januari) keadaan akan reda susulan sudah melepasi laluan ribut. Namun pastikan sentiasa peka pada amaran dan peringatan pihak berkuasa,” katanya.

Angin kencang dengan kelajuan 40-50 km/j dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang sehingga esok.

"Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” katanya.

Kedudukan ribut Pabuk pada 2 petang menunjukkan berada kira-kira 169 km ke timur laut Hatyai, Thailand dan bergerak dengan kelajuan 20 km/j ke arah barat.

Jarak dari bandar terdekat adalah sekitar 239 km ke timur laut Arau, Perlis.

Orang ramai boleh menghubungi Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) di talian 04-9663309 (Langkawi) dan 04-4235682 (Kuala Muda) untuk sebarang pertanyaan.