CHANGKAT JERING - Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Chuen, di sini mencipta sejarah tersendiri apabila merupakan satu-satunya sekolah aliran Cina dimasuki 100 peratus pelajar Melayu di Perak dan negara ini.
Lebih manis, sekolah tergolong dalam kumpulan Sekolah Kurang Murid (SKM) mengikut jumlah kemasukan pelajar kurang 30 orang itu turut mencatatkan kemasukan pelajar melayu memberangsangkan berbanding pelajar Cina sendiri sejak beberapa tahun lalu.
Guru Besar SJKC Yuk Chuen, Soo Theng Guan berkata, sekolah ditubuhkan sejak tahun 1946 tahun itu sebelum ini memang menfokuskan kepada pembelajaran sekolah Cina dengan menjadikan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar.
Menurutnya, sekolah itu pernah mencatatkan kemasukan pelajar paling tinggi seramai 130 orang pada tahun 1967 dan kemasukan paling kurang hanya 10 pelajar pada tahun 2007.
"Namun, selepas tahun 2008 berlaku perubahan peningkatan kemasukan pelajar Melayu, manakala jumlah kemasukan pelajar Cina semakin berkurangan saban tahun sehingga tiada pada tahun ini.
"Saya melihat perubahan itu berlaku disebabkan bilangan penduduk Cina yang tinggal sekitar kawasan Changkat Jering semakin berkurangan.
"Manakala peningkatan kemasukan pelajar Melayu disebabkan kebanyakan ibu bapa menyedari kepentingan penguasaan bahasa Cina dalam kalangan anak-anak mereka," katanya kepada Sinar Harian sewaktu menerima lawatan Penghulu SJKC Yuk Chuen dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Larut, Matang dan Selama (LMS), N Thesok Kumar ke sekolah itu hari ini.
Theng Guan berkata, keseluruhan pelajar sekolah ini berjumlah 21 orang melibatkan tujuh pelajar lelaki dan 14 pelajar perempuan merangkumi Darjah Satu hingga Darjah Enam.
Menurutnya, sistem pendidikan diterapkan di sekolah itu sama sahaja seperti sekolah kebangsaan lain, cuma penggunaan bahasa pengantaraan berbeza.
"Tahun lepas, kita masih ada seorang pelajar Cina yang bersekolah di sini, namun tahun ini buat pertama kali sekolah mencipta sejarah kemasukan 100 peratus pelajar Melayu.
"Saya fikir kecenderungan ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah ini perlh dipuji kerana mereka berpandangan jauh dan kita sebenarnya menggalakkan lebih ramai pelajar bukan Cina untuk menyertai sekolah kami pada masa hadapan," katanya.
Theng Guan berkata, mengenai kaedah pendidikan dilaksanakan di SJKC Yuk Chuen, beliau menegaskan sistem kelas bercantum diwujudkan membabitkan pelajar Darjah Dua dan Darjah Tiga serta Darjah Empat dan Darjah Lima.
Menurutnya, hanya tiga pelajar Darjah Satu dan Lima pelajar Darjah Enam sahaja diasingkan memandangkan inisiatif sekolah itu selaras dengan dasar pendidikan kebangsaan di bawah skim Sekolah Kurang Murid (SKM).
"Kesemua pelajar terlibat dalam sistem kelas bercantum tidak berhadapan masalah kerana kesemua 12 tenaga guru pengajar di sekolah itu adalah berpengalaman dan terlatih dengan sistem berkenaan.
"Bagi pihak sekolah, kamj mengalu-alukan kemasukan pelajar dari pelbagai kaum untuk menyertai sekolah ini di samping menggalakkan kepelbagaian pelajar dari kaum majmuk," katanya.
Sementara itu, Thesok Kumar berkata, isu pengasingan kaum dalam sistem pembelajaran tidak pernah diterapkan oleh mana-mana warga pendidik di mana murid dari pelbagai kaum boleh saling belajar dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan mereka.
Menurutnya, nilai pendidikan di semua jenis sekolah di negara ini sama sahaja, cuma terpulang kepada kehendak ibu bapa bagi menilai kepentingan masa hadapan anak-anak mereka.
"Biasanya ibu bapa kaum bukan Cina memilih memasukkan anak-anak mereka ke sekolah ini kerana mahukan pelajar berkenaan lebih berdaya saing dan berkemahiran bertutur pelbagai bahasa.
"Ibu bapa juga tidak perlu bimbang anak-anak mereka berkemungkinan tidak menguasai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu dengan baik kerana kesemua tenaga guru dibekalkan adalah profesional," katanya.