'Dakwaan pengeluaran kad data dokumentasi warga asing cukup serius'

Iklan
Muhyiddin menyampaikan ucapan pada Hari Keluarga KDN di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) hari ini. - Foto Bernama

SERDANG - Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memandang serius laporan yang mendakwa terdapat syarikat yang menjalankan aktiviti pengumpulan data dan pengeluaran kad data dokumentasi bagi warga asing.

"Saya memandang perkara ini cukup serius tetapi kita sebut di sini bahawa ia tiada kena-mengena dengan Jabatan Pendaftaran Negara atau Jabatan Imigresen,” katanya kepada media selepas menghadiri Hari Keluarga Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Iklan
Iklan

Beliau mengulas demikian berhubung kenyataan KDN hari ini yang membuat laporan polis di Putrajaya menafikan kaitan kementerian itu dalam kegiatan pengumpulan data dan pengeluaran kad data dokumentasi bagi warga asing.

Kenyataan tersebut menyebut bahawa KDN tidak pernah melantik pihak Mega Management Consultancy Sdn Bhd untuk menjalankan pengumpulan data maklumat dokumentasi pekerja asing, warga asing atau mana-mana individu yang mempunyai masalah kerakyatan di Sabah.

Iklan

Selain itu, KDN juga menerima maklumat berhubung kegiatan beberapa syarikat dan pertubuhan mengumpulkan maklumat, mendaftar dan mengeluarkan kad dokumentasi kepada warga asing terutamanya kepada pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Selepas melihat laporan itu, saya minta ketua-ketua pengarah berkaitan untuk meneliti sama ada itu adalah benar atau palsu. Kalau benar, tindakan keras mesti diambil.

Iklan

"Mungkin sudah berlaku berapa kes, namun saya tidak tahu tetapi apabila ada laporan sebegini, kita laporkan segera kepada pihak polis untuk menyiasat punca siapa yang melakukannya,” katanya.

Muhyiddin menyampaikan hadiah kepada wakil kumpulan yang muncul johan keseluruhan Datuk Mohd Dusuki Ya’acob (kiri) semasa hadir pada Hari Keluarga KDN di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) hari ini. - Foto Bernama

Dalam pada itu, berhubung laporan kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengenai terorisme pada 2018 yang mengekalkan Malaysia sebagai 'sumber dan titik transit' kumpulan pengganas seperti Islamic State (IS), Abu Sayyaf, al-Qaeda dan Jemaah Islamiyah semalam, menteri tersebut berkata, pihaknya maklum tentang perkara itu.

"Kita tahu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia adalah negara tumpuan transit yang dikaitkan dengan kumpulan-kumpulan pengganas, namun apa yang penting adalah apa yang kita lakukan di sini untuk menentukan supaya elemen seperti ini kita tidak biarkan,” katanya.

Katanya, peranan Bahagian Anti Pengganas Polis Diraja Malaysia amat penting bagi menahan dan mendakwa mereka yang terlibat ke muka pengadilan termasuk menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

"Bukti yang diberikan AS itu adalah satu kenyataan dan disebabkan itu, kita akan terus pantau ambil langkah pencegahan dan lain-lain. Ini memang ada dalam pengetahuan kita,” katanya. - Bernama

Muhyiddin bersama isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman bergambar bersama warga KDN pada Hari Keluarga KDN di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) hari ini. Turut sama, Ketua Setiausaha KDN, Tan Sri Alwi Ibrahim. - Foto Bernama