Pak Wan nafi ada pengumuman 'penting'

Iklan
Mohd Redzuan atau Pak Wan yang juga MPT Bersatu berhasrat menjemput wartawan hadir ke Rumah Gerakan Bersatu Parlimen Alor Gajah bagi mendengar dapatan kajian dan sikap pengundi di setiap DUN kawasan berkenaan.

Terdapat pelbagai spekulasi berhubung pendedahan Pak Wan bahawa Bersatu sudah berubah wajah

SHAH ALAM - Bekas menteri Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof mengenepikan dakwaan beliau bakal membuat 'pengumuman' penting berkaitan masa hadapan politiknya sehari selepas hari penamaan calon pilihan raya negeri (PRN) Melaka pada 8 November hadapan.

Jelas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, dakwaan itu hanya digembar-gemburkan oleh media tempatan yang sekadar mahu 'bikin gempak' semata-mata.

Tambahnya, hasrat sebenar beliau adalah untuk menjemput para wartawan hadir ke Rumah Gerakan Bersatu Parlimen Alor Gajah bagi mendengar dapatan kajian dan sikap pengundi di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan berkenaan.

"Tiada pengumuman apa pun. Buat gempak sahaja media ini.

"Cuma saya jemput wartawan datang ke Rumah Gerakan (Bersatu) Parlimen Alor Gajah bagi mendengar dapatan kajian sikap pengundi di DUN-DUN kawasan parlimen itu selepas hari penamaan calon," jawabnya secara ringkas pada Isnin.

Pada Ahad, Redzuan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah dilaporkan akan membuat satu pengumuman 'penting' pada 9 November, sehari selepas penamaan calon PRN Melaka.

Memetik laporan Melaka Hari ini yang juga media rasmi kerajaan negeri, bekas Pengerusi Bersatu Melaka itu menyifatkan bahawa 'partinya sudah berubah wajah'.

"Kita tunggu siri kedua, kalau nak tunggu November ini, saya akan berbaju Melayu, bersamping dengan warna apa yang akan saya umumkan nantilah,” katanya dipetik Melaka Hari Ini, media rasmi kerajaan negeri.

Mohd Redzuan yang lebih dikenali sebagai Pak Wan sebelum ini sering mengkritik pengurusan kerajaan PN dipimpin bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap pandemik Covid-19 ketika menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam tugas-tugas khas.

Lebih menarik, Mohd Redzuan turut disebut-sebut sebagai calon Timbalan Perdana Menteri baharu daripada Bersatu bersama Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sewaktu peralihan kerajaan UMNO-PN berlaku.

Bagaimanapun, Mohd Redzuan kemudiannya digugurkan daripada jawatan menteri apabila Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Muhyiddin.

TIDAK TERLIBAT PENGURUSAN BERSATU MELAKA

Mengulas lanjut kepada media Melaka Hari ini, Mohd Redzuan mengakui beliau tidak tahu banyak perkara tentang apa yang berlaku dalam Bersatu Melaka.

"Selepas itu, saya tak tahu, saya tak terlibat dengan pengurusan, saya pun tidak dipanggil walaupun saya Ex-Offisio di Bahagian Alor Gajah dan Bendahari Bersatu bahagian Alor Gajah, saya tidak melibatkan diri.

"Saya sebutkan Bersatu telah berubah wajah. Kalau perlu saya masuk dalam kelompok untuk memperjuangkan perjuangan kita, saya tak lari dari konsistensi saya, saya tetap perjuangkan perjuangan asal Bersatu.

"Macam saya sendiri berfikir ke mana Bersatu ini nak pergi sebab kepala saya (masih mengatakan) Bersatu dahulu adalah bersama Tun M (Dr Mahathir Mohamad), Muhyiddin dan Mukhriz (Mukhriz Mahathir),” luahnya lagi.

Terima kasih kerana membaca dan menyokong kewartawanan yang bebas, eksklusif dan kritis.
Nikmati pelbagai lagi keistimewaan langganan yang tersedia dengan melanggan Sinar Premium!!
Artikel Tanpa Had Akses mana-mana artikel dimana jua
Harga bermula dari
RM 6.90 - RM 66.20
1 bulan / 12 bulan
Langgan dengan
Log Masuk atau Daftar Akaun untuk membaca artikel ini.