Malaysia jadi negara tumpuan, transit pengganas: Muhyiddin

Iklan
Muhyiddin bergambar bersama warga KDN sebaik selesai program yang berlangsung di MAEPS hari ini.

SERDANG - Kerajaan telah meningkatkan kawalan keselamatan dan pemantauan khususnya di kawasan sempadan bagi mengelak negara ini menjadi transit kumpulan pengganas.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu dibuat susulan Malaysia menjadi antara tumpuan kumpulan pengganas sebagai negara transit sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Iklan
Iklan

"Kita memang tahu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia adalah antara negara tumpuan transit atau sebagainya yang ada kaitan dengan kumpulan pengganas dan ini telah pun disebutkan dalam laporan kerajaan AS (Amerika Syarikat) semalam.

"Tetapi apa yang penting adalah mengenai apa (langkah-langkah) yang kita lakukan di sini (Malaysia) untuk pastikan supaya elemen-elemen sebegini tidak kita biarkan.

Iklan

"Sebab itu Bahagian Counter Terrorism cawangan khas PDRM (Polis Diraja Malaysia) amat penting untuk menentukan kalau ada berlaku dan sudah pun terbukti mereka terlibat kita dah ambil tindakan menahan mereka, tuduh dan sebagainya," katanya pada sidang akhbar ketika hadir pada Hari Keluarga Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan kerajaan AS mengenai keganasan pada tahun 2018 telah menyatakan peranan berterusan Malaysia sebagai 'sumber dan titik transit' bagi kumpulan pengganas seperti Islamic State (IS).

Iklan

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, disebabkan itu juga kerajaan terpaksa menggunakan undang-undang yang ada kaitan seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan sebagainya untuk mengekang kegiatan pengganas di negara ini.

"(Laporan) bukti yang dinyatakan pentadbiran AS adalah satu kenyataan dan disebabkan itu kita terus memantau, mengambil langkah pencegahan dan lain-lain lagi dan ini (sememangnya) ada dalam pengetahuan kita," katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kes penculikan di Sabah yang melibatkan kumpulan militan Filipina, Muhyiddin berkata, kerajaan turut menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa negara itu untuk menangani kes tersebut.

"Tetapi memandangkan kes ini berlaku di Malaysia, jadi undang-undang yang digunakan mengikut negara kita," katanya.

Katanya, kes seumpama itu telah lama berlaku dan kerajaan terus memperketatkan kawalan termasuklah dengan menubuhkan Pasukan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).