Dua murid trauma dakwa dipukul guru

Iklan
Gambar kesan kecederaan dan lebam yang dialami kanak-kanak terbabit akibat didakwa dipukul guru wanita berkenaan.

TEMERLOH -"Anak saya jadi trauma hingga takut nak pergi ke sekolah hingga kini."

Itu luahan seorang ibu selepas anak lelakinya didakwa dipukul seorang guru wanita di sebuah sekolah di Kuala Krau pada 23 Oktober lalu.

Iklan
Iklan

Seripah Mat Salleh, 47, dari Kampung Paya Luas, Kuala Krau mendakwa, anaknya lelakinya berumur 11 tahun lebam di lengan dan calar di bahagian belakang akibat tindakan guru terbabit ketika menduduki peperiksaan pada hari kejadian.

Menurutnya, selain anaknya, seorang lagi rakan sebaya iaitu murid berketurunan orang asli turut dipukul guru tersebut.

Iklan

"Kejadian dikatakan berpunca selepas telinga kiri anak guru terbabit terkena kertas ketika bermain. Kalau betul anak saya salah, kenapa dipukul hingga sebegitu sekali di dalam kelas di hadapan rakan-rakannya.

"Saya terkilan dengan tindakan guru itu dan sejak kejadian itu, anak saya trauma, takut ke sekolah dan menjadi lebih pendiam," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Iklan

Seripah berkata, dia hanya mengetahui insiden menimpa anak bongsu daripada lima beradik itu selepas mendapati kanak-kanak itu kelihatan takut ketika pulang dari sekolah dan hanya menceritakan kejadian selepas didesak.

Sehubungan itu katanya, satu laporan polis telah dibuat di Balai Kuala Krau pada hari kejadian selain membuat pemeriksaan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh dan disahkan kecederaan akibat dipukul.

Seripah (dua dari kiri) dan Noridah (kanan, belakang) serta suami, Zaiful Joot, 37, menunjukkan laporan polis yang dibuat berikutan insiden menimpa anak mereka.

Menurutnya, satu perjumpaan turut diadakan bersama pihak sekolah keesokan harinya.

"Saya ingatkan siasatan akan dijalankan tetapi perjumpaan bertukar sebaliknya, hanya untuk berdamai selain seperti diugut masa depan anak akan terjejas menyebabkan saya menarik laporan polis di balai sama pada 24 Oktober lalu," katanya.

Mengakui jiwanya tidak tenang dan terkilan sepanjang tempoh tersebut, pembantu kedai itu berkata, dia kembali lega selepas menerima panggilan daripada pihak polis pada pada 30 Oktober lalu memaklumkan bahawa siasatan kes anaknya dibuka semula.

Seorang lagi ibu mangsa, Noridah Jidin, 39, mendakwa turut kecewa dengan tindakan guru terbabit yang disifatkan melampau hingga mendatangkan lebam di lengan anaknya.

"Anak saya beritahu, dia dan rakannya dipukul di dalam kelas oleh guru tersebut sebelum berjaya dileraikan oleh seorang lagi guru.

"Jika betul anak saya salah, jangan hingga pukul sebegitu sekali dan memang terkilan dengan tindakan guru terbabit," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh, Pemangku Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian tersebut dan siasatan sedang dijalankan.