KUALA TERENGGANU - Polis menafikan wujudnya sekumpulan penjenayah yang menyuruh menghidu sejenis ubat dadah sebelum merompak, merogol atau membunuh mangsa seperti tular di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos berkata, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang laporan kejadian berhubung jenayah tular yang dikaitkan kononnya sedang aktif di negeri ini.
"Kami juga tidak pernah sesekali mengeluarkan satu notis peringatan khas kepada orang awam agar berhati-hati dengan jenayah tersebut.
"Pihak kami juga tidak pernah memaparkan tiga wajah suspek yang kononnya didakwa terlibat dalam jenayah berkenaan.
"Bagaimanapun sekiranya orang ramai ada mempunyai maklumat berkaitan, bolehlah sekiranya menyalurkan kepada kami untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Razmi berkata, Ia (penyebaran) dilihat sebagai satu cubaan untuk menimbulkan ketakutan dan kebimbangan orang ramai.
"Perbuatan menyebarkan dan membuat spekulasi palsu adalah menyalahi undang-undang," katanya.
Katanya, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya," katanya.
Sehubungan itu beliau berkata, pihak polis menasihatkan orang ramai tidak mudah mempercayai dakwaan yang diperoleh daripada sumber yang tidak sah dan menggunakan maklumat palsu.
Sebelum ini, tular wajah tiga lelaki kononnya suspek yang berpura-pura menjual sabun basuh dari rumah ke rumah yang didakwa sedang aktif di negeri ini.
Suspek kononnya menyuruh pelanggannya menghidu pewangi tetapi didakwa sejenis ubat dadah untuk penenang dipanggil 'white clay' dan sekiranya dihidu boleh menyebabkan pengsan.
Tujuan mereka adalah untuk merompak, merogol atau membunuh dan kejadian itu kononnya dikatakan sudah berlaku di Sibu, Kuching, Bintulu dan sekarang aktif di Kuala Terengganu.
Penjenayah tersebut kononnya dikatakan sudah masuk ke kawasan timur seperti Jengka, Pahang selain mendakwa kesemua notis dan gambar disebarkan adalah peringatan khas daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).