TUMPAT - Angin kencang kesan Ribut Tropika Pabuk reda hari ini dan keadaan cuaca yang baik diambil peluang oleh peniaga di pantai Geting untuk berniaga seperti biasa.
Tinjauan Sinar Harian di Pantai Geting, gerai-gerai makanan mula dibuka dan mula dikunjungi orang ramai.
Peniaga, Rahmah Jusof, 48, berkata, keadaan cuaca panas serta tiada lagi angin kencang membolehkan dia membuka gerainya.
Katanya, semalam dia tidak berniaga kerana takut dengan angin kencang luar biasa serta bimbang keselamatan diri berada di tepi pantai.
"Angin kuat sangat semalam, hujan pun lebat, rasa gerun nak berniaga.
"Hari ini cuaca baik, saya tidak lepaskan peluang ini kerana biasanya hari minggu ramai pengunjung," katanya.
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pada masa ini, Ribut Tropika Pabuk berada di Teluk Siam dan dijangka merentasi Segenting Kra.
Keadaan angin kencang dengan kelajuan 40-50km sejam dan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter itu juga dijangka berlaku di kawasan perairan Kelantan hingga malam ini.
Perairan pantai Geting turut dipantau oleh petugas Penyelamat Pantai Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Seramai enam petugas Penyelamat Pantai memantau perairan pantai Geting bermula jam 8 pagi.
Ketua Skuad Penyelamat Pantai, Mohd Roslan Ghazali berkata, ada pengunjung menghampiri pantai walaupun bendera merah dikibarkan sebagai amaran kepada pengunjung.
"Kawasan ini masih bahaya dan bendera merah ini sebagai peringatan semua aktiviti di air dilarang sama sekali.
"Ombak masih besar lagi, memang bahaya kepada pengunjung," katanya.
Menurutnya, pihaknya akan memantau rapi setiap pergerakan pengunjung agar tidak menghampiri laut.