PONTIAN - Tiada suara negatif meragui kemampuan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai daripada MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng yang dianggap taruhan terbaik Barisan Nasional (BN) dalam merampas kerusi itu daripada tangan Pakatan Harapan (PH).
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, calon MCA itu merupakan seorang tokoh berpengalaman dan dikenali ramai pengundi di Parlimen Tanjung Piai kerana pernah menjadi wakil rakyat mereka sebanyak dua kali.
Iklan
Iklan
Menurutnya, kelebihan Jeck Seng yang suka memberi khidmat masyarakat juga menyebabkan pihaknya optimis BN mampu merampas kerusi Parlimen Tanjung Piai pada PRK kali ini.
"Saya yakin PRK kali ini memihak kepada BN tambahan pula calon dikemukakan ialah seorang tokoh berpengalaman dan dikenali ramai pengundi kerana pernah menjadi wakil rakyat untuk mereka.
"Tidak ada suara negatif terhadap beliau (Jeck Seng) dan saya nampak beliau diterima sebahagian pengundi Parlimen Tanjung Piai. Dengan itu, saya optimis BN akan dapat rampas kerusi Parlimen itu daripada PH," katanya sewaktu mengadakan walkabout bersama Jeck Seng bagi menyantuni penduduk di Lubuk Sawah, Pekan Nanas di sini hari ini.