IPOH -"Biarlah rakyat yang tentukan." Itu reaksi calon parti Gerakan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Wendy Subramaniam ketika ditanya mengenai pertembungan enam penjuru pada PRK kali ini.
Wendy berkata, biarpun saingan menyaksikan pertembungan enam penjuru namun kelebihan dilihat kepada Barisan Nasional (BN) dan juga Pakatan Harapan (PH).
"Ramai kata enam penjuru dan ia lebih kepada sokongan buat dua parti besar, PH dan BN.
"Kedua-duanya banyak duit. Duit Gerakan memang kurang, jadi kita biar rakyat tentukan," katanya pada program walkabout calon-calon PRK Tanjung Piai di Pasar Pagi Pekan Nanas di sini hari ini.
Sementara itu, Wendy berkata, beliau merancang mewujudkan dua pusat khidmat masing-masing di Pekan Nanas dan juga Pontian kecil.
Bagaimanapun katanya, mengikut situasi semasa, besar kemungkinan pusat khidmat berkenaan akan dibina di Pekan Nanas terlebih dahulu.
"Jika diberikan mandat dalam tempoh sebulan saya akan wujudkan pusat khidmat ini, satu di Pontian dan satu di Pekan Nanas.
"Bagaimanapun, mood rakyat ketika ini masih 50-50 dan kita tidak akan tahu sehinggalah ke hari pengundian nanti," katanya.