Bilik asrama pelajar tahfiz terbakar

Iklan
Ahmad Faizul (kiri) melihat keadaan bilik asrama pelajar tahfiz yang terbakar semalam.

RANTAU PANJANG - Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran Wal Qiraat, Repek dekat sini gempar apabila sebuah bilik tingkat dua bangunan asrama pusat pengajian berkenaan terbakar petang tadi.

Kejadian jam 2.38 petang itu berlaku ketika kesemua 75 pelajar lelaki sedang menunaikan solat Zohor di masjid yang terletak tidak jauh dari bangunan asrama.

Iklan
Iklan

Saksi kejadian, Ahmad Faizul Nizamudin, 29, yang juga guru dan warden asrama berkata, ketika mahu pergi ke masjid beliau ternampak percikan api dari tingkat dua bangunan asrama.

"Saya kemudian terus memberitahu perkara itu kepada seorang lagi tenaga pengajar yang kemudian menghubungi bomba untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Iklan

Ahmad Faizul berkata, beliau bersyukur apabila semua pelajarnya tidak terlibat dalam kejadian tersebut.

Katanya, beliau juga lega kerana kebakaran itu hanya melibatkan sebuah bilik di tingkat dua sahaja.

Iklan

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Penolong Penguasa Bomba Sapawi Setapa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 2.43 petang.

Menurutnya, seramai 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas dan Rantau Panjang bersama dua jentera dikejar ke lokasi kejadian.

"Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Azmi Ibrahim tamat sepenuhnya pada jam 3.13 petang,” katanya.