PH jangka kekal kerusi kerana undi ‘terpaksa’ kaum Cina

Iklan
PH melalui calon Bersatu, Karmaine Sardini dijangka terus mendapat sokongan daripada masyarakat Cina meskipun undi diberikan dalam keadaan ‘terpaksa.’

KELMARIN tirai kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang dijadual berlangsung pada 16 November 2019 mula dibuka secara rasmi.

Pada hari penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di Pontian, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan berlaku pertembungan enam penjuru bagi merebut kerusi Parlimen itu yang sebelum ini dimenangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dari Pakatan Harapan (PH).

Iklan
Iklan

Lebih menarik, PRK kesembilan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini dianggap signifikan untuk menilai tahap sokongan rakyat terhadap kerajaan PH.

Ketika ini, ramai pemerhati politik berpendapat tahap keyakinan rakyat terhadap kerajaan PH berada pada paras paling rendah susulan kesukaran mereka menunaikan janji manifesto PRU14 di samping dakwaan kegagalan menguruskan ekonomi negara dengan baik.

Iklan

Bagi MCA yang mewakili BN, PRK kali ini sangat penting untuk menentukan value mereka bukan sahaja dalam komponen BN bahkan dalam politik negara susulan kekalahan teruk mereka pada keseluruhan kerusi ditandingi pada PRU14.

PRK kali ini disifatkan sebagai pertembungan sengit dua penjuru antara PH dan BN. Pembabitan bekas parti komponen BN, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Berjasa dan dua calon bebas dijangka tidak memberi kesan besar dalam menggugat peluang kedua-dua parti pilihan itu.

Iklan

Penganalisis politik juga menyifatkan peluang PH untuk mengekalkan kerusi Parlimen Tanjung Piai sebagai 50-50, meskipun kekalahan PH tidak memberi sebarang impak terhadap kemungkinan perubahan kerajaan.

Mereka melihat kemungkinan PRK kali ini dijadikan medan rakyat terutama masyarakat Cina menyuarakan protes terhadap kerajaan PH susulan masih gagal menyelesaikan isu kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat selain peluang pekerjaan terhad.

Namun berdasarkan tinjauan di peringkat akar umbi, PH melalui calon Bersatu, Karmaine Sardini dijangka terus mendapat sokongan daripada masyarakat Cina meskipun undi diberikan dalam keadaan ‘terpaksa.’

Rata-rata pengundi Cina di Parlimen Tanjung Piai dikatakan ‘marah’ dengan tindak-tanduk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwa sering membuat keputusan berdolak-dalik dan membelakangkan kepimpinan PH.

Seorang pengundi Cina Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas, Ooi Oh Leong,67, mendakwa masyarakat Cina di sini kecewa dengan kegagalan pemimpin PH terutama DAP untuk memastikan objektif pemulihan negara dilaksanakan secara menyeluruh.

"Sekarang banyak orang Cina cakap bisnes sudah mati, orang banyak susah. Kalau tanya masyarakat Cina di sini, peluang PH menang PRK 50-50.

"Tetapi kita mungkin terpaksa bagi undi juga pada PH. Cuma kali ini kita harap mereka tunai janji dan tidak lagi cakap pusing-pusing terutama dalam pemulihan ekonomi negara,” katanya.

Pengundi merajuk

Keyakinan PH untuk mengekalkan kerusi Parlimen Tanjung Piai turut diperkuatkan dengan desas-desus pengundi kaum Melayu terutama penyokong UMNO dikatakan terkejut dan merajuk dengan keputusan pemilihan calon MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng untuk mewakili BN.

Sebelum ini, keputusan UMNO dan BN mengadakan kerjasama politik menerusi agenda Muafakat Nasional dianggap memberi nafas baharu dan usaha penyatupaduan masyarakat Melayu bagi menumbangkan PH.

Meskipun Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik dikatakan memberi perkhidmatan baik kepada rakyat Tanjung Piai, rata-rata masyarakat Melayu di sini berasakan hak istimewa bumiputera dan kedaulatan agama Islam semakin terjejas sejak kerajaan dipimpin PH.

Bagaimanapun, pada sudut pandangan lain, kemampuan Jeck Seng untuk merampas kerusi Parlimen Tanjung Piai dari tangan Bersatu juga tidak boleh dipertikaikan.

Kelebihan sebagai anak tempatan, ditambah pengalaman Jeck Seng sebagai bekas wakil rakyat kawasan itu tidak boleh diketepikan untuk mencipta kejutan lebih-lebih lagi mengambil kira sentimen kemarahan masyarakat cina terhadap kerajaan PH.

Cuma peluang calon MCA itu untuk menang dianggap cerah sekiranya pengundi Melayu terdiri penyokong UMNO dan Pas tidak merajuk dan bersikap terbuka untuk memastikan kemenangan bersejarah BN pada empat PRK berturut-turut.

Daripada enam calon bertanding, lima calon termasuk seorang calon bebas difahamkan sudah aktif turun padang menemui pengundi di kawasan keramaian seperti pasar pagi, pekan dan rumah ibadat seawal jam 7.30 pagi.

Bagaimanapun, seorang calon bebas yang mewakili Persatuan Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM), Faridah Aryani Abdul Ghaffar,43, dilihat masih belum kelihatan memulakan kempen PRK bertemu pengundi Tanjung Piai.

Keseluruhan, mood pengundi pada hari pertama kempen PRK Parlimen Tanjung Piai dilihat masih biasa namun ianya mungkin berubah pada hari-hari kempen seterusnya.

* Khairil Anwar Mohd Amin ialah Wartawan Sinar Harian Edisi Nasional